Intai kehidupan rimba Bukit Batu Lebah

Masa Membaca:3 Minit, 5 Saat

ASAHAN 17 Mac – Bayangkan betapa tenangnya berada di pekat belantara apabila tiada hingar enjin kenderaan sebaliknya hanya ditemani bunyi unggas yang seakan-akan menyanyi sepanjang pendakian.

Begitulah gambaran ekspedisi ke Taman Eko Rimba Bukit Batu Lebah selama lebih 3 jam yang nyata ‘menjentik’ sanubari untuk lebih menghargai alam ciptaan-Nya.

Pendakian bukit dengan ketinggian 208 meter sudah cukup membuatkan saya bersama beberapa kru Melaka Hari Ini tidak cukup nafas terutama di pertengahan jalan sebelum tiba ke hentian pertama, Batu Pemandangan.

Permukaan curam dan akar pohon-pohon besar melingkari lantai rimba menjadikan pendakian agak mencabar bagi kami meskipun telah banyak dibantu pemandu arah, Muhammad Izdhar Zihni, 26 di hadapan.

Selain perlu peka terhadap arahan Izdhar supaya tidak sesat, pendaki perlu bijak kerana sekiranya tersilap langkah tatkala berpaut pada dahan yang belum matang boleh menyebabkan anda tersungkur.

Persediaan mental dan fizikal sebelum melangkah masuk ke zon kehijauan ini amat penting bahkan anda dinasihatkan untuk ‘ukur baju di badan sendiri’ sebelum memilih pendakian mengikut laluan satu (208 meter), laluan dua (411 meter) atau laluan tiga (431 meter).

2
BATU Pemandangan menjadi ‘port’ menarik untuk pengunjung mengabadikan kenangan.

PUNCAK BATU PEMANDANGAN

Perjalanan kru kami untuk sampai ke sini dianggap ‘mimpi ngeri’ selepas seorang demi seorang mengalami kepenatan melampau sehingga isi perut ketika itu terasa seperti ingin menjeluak kembali makanan yang diambil sebelum ekspedisi.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah kewujudan lebih 70 anak tangga di setiap laluan berbukit yang membangkitkan persoalan sama ada kawasan itu pernah menjadi penempatan penduduk dahulu kala.

Ketika pendakian kami, Izdhar turut berkongsi beberapa penemuan flora di sana antaranya pokok tongkat ali, pudina hutan, mengkuang dan kayu ara yang berusia ratusan tahun.

Daripada hutan yang kelabu terlihat ada sinar kecil daripada celahan pokok memberi petanda bahawa kami sudah hampir ke ‘garisan penamat’.

Apabila tiba di puncak atas sana, tiada lain hanyalah rasa tenang dan terharu melihat betapa indahnya pemandangan yang terbentang luas sekali gus menghilangkan segala penat-lelah mendaki selama lebih 30 minit.

Di puncak ini, kami dapat menikmati udara nyaman sambil dihidangkan pemandangan negeri Melaka meliputi sekitar Alor Gajah dan Jasin malah turut terlihat ‘bayang’ bangunan pusat beli belah di Pulau Melaka dari puncak ini.

5
CABARAN menyelusuri Gua Batu Senyum.

LAWAN FOBIA TEMPAT GELAP

Menyelusuri empat gua di Bukit Batu Lebah bagi penulis adalah aktiviti ‘keramat’ yang tidak boleh dilepaskan kerana pengunjung dapat menguji tahap ketakutan berada di tempat sempit dan gelap.

Empat gua dilalui iaitu Gua Kelambu, Gua Reban, Gua Tiga Tingkat dan Gua Batu Senyum yang setiap daripadanya mempunyai cabaran berbeza.

Contohnya di Gua Kelambu, kami perlu merangkak dan merebahkan badan ke tanah dalam kegelapan sambil memikul peralatan penggambaraan untuk keluar dari gua tersebut ke gua seterusnya.

Di Gua Tiga Tingkat pula, kami perlu beraksi seperti ‘spiderman’ dengan memanjat satu persatu tangga dan batu yang ada tanpa sebarang bantuan melainkan peka dengan arahan pemandu arah jika mahu maju ke ‘checkpoint’ berikutnya.

Lebih menarik apabila perjalanan ke gua-gua tersebut turut menemukan kami dengan beberapa hidupan dan reptilia misalnya cicak tokek dan ketam hutan yang menurut Idzhar hanya memunculkan diri pada musim tertentu.

Walaupun lencun bermandi peluh, namun nikmat ketenangan alam semula jadi yang ada di sini tidak dapat dibeli di mana-mana.

6
IZDHAR (dua dari kanan) bersama kru Melaka TV.

Secara peribadi, penulis berpandangan Bukit Batu Lebah atau digelar bukit ‘sandgold’ haruslah menjadi lokasi wajib pengunjung khususnya mereka yang menggemari aktiviti ekstrem.

Jangan risau, kini, kawasan tarikan ini mempunyai fasiliti dan kemudahan serba lengkap seperti chalet, tapak perkhemahan, dewan terbuka serta surau yang sesuai bagi aktiviti riadah seisi keluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5144
Kongsi :
Previous post Malaysia perkenal Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana
Next post Skuad bencana Melaka prihatin nasib mangsa banjir Johor
Ubah saiz-+=