IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka yang pertama perkenal PISP

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 30 Dis. – Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka bakal menjadi IPG pertama di negara ini yang akan menjalankan Program Ijazah Sarjana Perguruan (PISP) bermula Julai 2021.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi) negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, program PISP itu bakal memberi peluang kepada pendidik yang sudah mempunyai ijazah sarjana muda dan berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana (Masters).

Menurutnya, untuk permulaan seramai 20 pendidik kelahiran Melaka bakal dipilih untuk mengikuti program berkenaan dengan kos pengajian yang rendah iaitu sekitar RM8,550 bagi pengajian selama dua tahun atau empat semester (40 kredit).

“Program ini merupakan hasil cetusan idea Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam dalam kunjung hormat IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, September lalu.

“Walaupun pertemuan itu masih baru, namun IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka sudah melaksanakan gerak kerja untuk membantu guru-guru menyambung pengajian secara sambilan bermula Julai 2021.

“Selain itu, TYT Tun Seri Setia juga berhasrat mengambil inisiatif untuk menaja 10 orang guru buat permulaan bagi membolehkan mereka mendapatkan segulung ijazah sarjana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN Melaka), di Bukit Beruang, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN Melaka Karim Tumin dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Rosni.

 

Views:

6787
Kongsi :
Previous post Unit rondaan selesaikan 200 kes jalan berlubang di Melaka
Next post Pantau pendawaian sekolah usang
Ubah saiz-+=