Pantau pendawaian sekolah usang

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MERLIMAU 30 Dis. – Sekolah-sekolah yang sudah berusia atau dikategorikan sebagai usang perlu melakukan pemeriksaan pendawaian secara berkala bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad berkata, aspek itu perlu diberi tumpuan utama memandangkan terdapat banyak kes kebakaran berlaku disebabkan pendawaian yang tidak diselenggara sebaiknya sehingga membawa kepada litar pintas.

Beliau turut mencadangkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mempunyai kepakaran dalam bidang elektrik dalam soal membabitkan pendawaian.

“Saya lihat kebanyakan sekolah di Melaka tidak mempunyai masalah dari segi infrastruktur bangunan. Kebiasaannya aduan yang diterima ialah membabitkan pendawaian.

“Sebab itulah saya minta agar diadakan pemeriksaan rutin untuk aspek pendawaian untuk mencegah kejadian tidak diingini seperti kebakaran dan sebagainya.

“Dari sudut kepakaran, JKR boleh memberikan bantuan untuk membuat pemeriksaan di sekolah-sekolah. Sekiranya ada pendawaian yang memerlukan pembaikan, mereka boleh memberikan khidmat nasihat dari sudut kos dan selepas itu PPD bolehlah merujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk peruntukan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan simbolik penyerahan kunci blok pentadbiran Sekolah Kebangsaan Sempang, di sini, yang selesai dibaik pulih selepas mengalami kebakaran pada April 2019 lalu.

Hadir sama, Pengarah JKR Melaka Datuk Ir Ismail Ab Rahman dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN Melaka Karim Tumin

Jelasnya, projek pembaikan tersebut diuruskan oleh JKR Negeri Melaka dengan kos keseluruhan bernilai RM841,688.63.

Kerja-kerja pembaikan sekolah berkenaan telah bermula pada 7 Julai lalu dan siap sepenuhnya mengikut jangka masa yang ditetapkan iaitu pada 20 Disember.

Views:

1424
Kongsi :
Previous post IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka yang pertama perkenal PISP
Next post Pelajar obes: Melaka cadang beri wang tunai jika berjaya turun berat badan
Ubah saiz-+=