Pelajar obes: Melaka cadang beri wang tunai jika berjaya turun berat badan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 30 Dis. – Melaka bercadang menganjurkan program cabaran menurunkan berat badan melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi) negeri Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, cadangan itu susulan data yang menunjukkan Melaka antara negeri tertinggi merekodkan pelajar obesiti di seluruh negara.

Sehubungan itu ujarnya, sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan trend obesiti dalam kalangan pelajar terus meningkat.

“Obesiti dalam kalangan pelajar di Melaka merupakan antara yang tertinggi iaitu kira-kira 30 peratus daripada jumlah pelajar yang ada.

“Malah difahamkan Melaka juga berada di kedudukan tiga teratas pelajar obesiti di antara semua sekolah di seluruh negara,” ujarnya kepada Melaka Hari Ini.

Noor Effandi berkata, susulan itu sebelum ini ada di antara guru besar dan pengetua memberi cadangan menganjurkan program berkenaan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Insyaallah 2021 ini kita akan laksanakannya di peringkat sekolah. Mungkin kita akan tawarkan hadiah wang tunai kepada pelajar yang berjaya merekodkan peratusan tertinggi penurunan berat badan.

“Saya yakin ia boleh menjadi langkah untuk membantu pelajar mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.

Mengulas mengenai cabaran  ‘Turunkan Berat Badan 50 Hari’ yang dianjurkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau, (Telok Mas), Noor Effandi berkata, cabaran berkenaan melangkaui jangkauannya apabila berjaya menarik minat 170 peserta.

Jelasnya, ia bukan sahaja menarik minat orang muda, bahkan turut disertai warga emas dan golongan kanak-kanak obesiti yang berhasrat untuk membudayakan gaya hidup sihat.

Program itu juga ujarnya, mendapat kerjasama Fakulti Kejururawatan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang bertanggungjawab menjadi mentor kepada para peserta, selain bertanggungjawab memberikan tips gaya hidup sihat serta panduan aktiviti yang boleh dilakukan untuk menurunkan berat badan.

Program itu bakal berakhir 31 Januari depan untuk menentukan juara dalam empat kategori yang dipertandingkan iaitu wanita atas 90 kilogram (kg), lelaki atas 90 kg, wanita bawah 90 kg dan lelaki bawah 90 kg.

Juara bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM500.

Views:

1405
Kongsi :
Previous post Pantau pendawaian sekolah usang
Next post Ikan merah ibarat emas
Ubah saiz-+=