Ikan merah ibarat emas

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Dis. – Ikan merah yang baharu didaratkan nelayan di pantai Melaka barat, di sini diibaratkan seperti emas kerana ia amat sukar diperoleh.

Ikan merah yang baharu didaratkan di pantai itu dikesan mengalami kenaikan harga hingga RM40 sekilogram sejak setahun lalu berikutan kesukaran untuk mendapatkannya.

Nelayan mendakwa, ikan berkenaan semakin sukar diperoleh, dipercayai akibat kemusnahan batu karang yang berfungsi sebagai habitat pembiakannya sejak beberapa tahun lalu.

Ikan merah atau istilah saintifiknya ‘Lutjanus Argentimaculatus’ adalah ikan gred A yang sebaris dengan ikan kerapu cantik, kurau, senangin, bawal cermin, bawal cepak, senohong, jenahak dan seumpamanya yang dijual nelayan pada harga tinggi di kawasan berkenaan.

Mohd Asri Rosli, 30, yang turun ke laut bersama-sama bapanya, Rosli Omar, 67, berkata ikan merah sentiasa menjadi idaman nelayan setiap kali mereka menangkap ikan dengan menggunakan kaedah merawai, iaitu menggunakan antara 800 hingga 1,000 mata kail yang dipasang umpan ikan kecil seperti tamban, selangat dan beliak mata.

“Setiap kali turun merawai, tiada nelayan yang tidak mahu mendapat ikan merah, jenahak, kurau, senohong dan lain-lain kerana ikan itu tinggi harganya dan berbaloi dengan tenaga yang dikeluarkan dari pagi hingga petang.

“Bagaimanapun, sejak tiga tahun lalu, ikan gred A itu semakin sukar diperoleh dan ada kalanya sampai berbulan-bulan kami tidak pernah dapat menangkapnya,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Pasir Gembor, di sini hari ini.

Rosli berkata, berikutan kesukaran untuk mendapatkannya, harga ikan gred A, terutama ikan merah melambung hingga RM40 sekilogram tetapi ia tetap menjadi rebutan orang ramai yang menunggu nelayan naik ke darat.

“Ikan merah rasanya berbeza dengan ikan gred A yang lain, apatah lagi ikan gred B dan C kerana selain manis, ikan merah juga ada rasa lemak yang menyebabkan tangan kita walaupun sudah dibasuh selepas makan, masih terasa akan lendir ikan itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, seperti ikan gred A yang lain, ikan merah hidup di habitat batu karang di dasar laut dan lazimnya hidup secara berkumpulan.

Katanya, sepanjang 45 tahun mencari rezeki di laut, beliau pernah memperoleh 40 ikan merah yang setiap seekor seberat antara satu hingga tiga kilogram sekali turun ke laut pada tahun 1970-an dan 1980-an.

“Ketika itu ikan merah agak mudah ditangkap dengan cara merawai hingga ada ketikanya saya dapat antara 40 hingga 50 ekor dan penuh petak menyimpan ikan dalam perahu tetapi sekarang bezanya ibarat langit dengan bumi,” katanya.

Views:

2830
Kongsi :
Previous post Pelajar obes: Melaka cadang beri wang tunai jika berjaya turun berat badan
Next post Kapal tangki warga asing berlabuh tanpa kebenaran ditahan
Ubah saiz-+=