Unit rondaan selesaikan 200 kes jalan berlubang di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

MERLIMAU 30 Dis. – Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka berjaya menyelesaikan kira-kira 200 kes jalan berlubang dari Mei hingga Disember tahun ini hasil penubuhan unit rondaan yang memantau kes-kes seumpamanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad berkata, unit rondaan itu telah ditubuhkan di setiap daerah oleh JKR Melaka selepas mengeluarkan aku janji sifar jalan berlubang di negeri ini pada Mei lalu.

Jelasnya, setiap unit rondaan yang ditubuhkan itu terdiri daripada sekurang-kurangnya empat pekerja yang dipertanggungjawabkan untuk membuat pemantauan dan rondaan sekiranya ada aduan kerosakan jalan yang berada di bawah bidang kuasa JKR.

“Bila terima aduan, unit rondaan ini akan buat rondaan dan jika benar terdapat jalan berlubang, penampalan sementara akan dilakukan dalam tempoh 24 jam. Seterusnya, dalam masa tiga hari kita akan lakukan tampalan kekal.

“Mereka bukan sahaja bertindak berdasarkan aduan, tetapi mereka juga mempunyai rutin tertentu untuk membuat rondaan.

“Boleh dikatakan dalam tempoh beberapa bulan ini lebih kurang 200 masalah jalan berlubang telah berjaya diselesaikan di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melawat kerja-kerja pembaikan bumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Sempang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKR Melaka Datuk Ir Ismail Ab Rahman dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPN Melaka Karim Tumin.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, JKR tidak seharusnya menjadi satu-satunya agensi yang dipersalahkan orang ramai sekiranya berlaku masalah jalan berlubang.

Menurutnya, orang ramai perlu memahami bahawa jalan-jalan negeri terbahagi kepada empat iaitu jalan di bawah JKR, jalan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), jalan di bawah Pejabat Daerah dan Tanah dan jalan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Selain itu, ujarnya, masalah jalan berlubang juga mungkin berlaku disebabkan oleh kerja-kerja pengorekan yang dilakukan oleh syarikat kemudahan awam (utilities) seperti syarikat air, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad mahu pun Indah Water Konsortium.

“Syarikat kemudahan awam ini kebiasaannya melantik kontraktor mereka sendiri untuk melakukan kerja pengorekan dan tampalan semula jalan. Masalah yang berlaku ialah apabila kerja-kerja penampalan itu tidak dilakukan dengan betul.

“Bila tampal tidak mengikut spesifikasi dan jika berlakunya hujan, maka jalan akan berlubang. Dan bila jalan berlubang orang salahkan JKR lagi sedangkan kesalahan itu dilakukan pihak lain, katanya.

Roslan berkata, atas sebab itu masalah berkenaan telah dibawa ke mesyuarat Koridor Infrastruktur Awam (PKI) negeri yang mana satu keputusan telah dicapai iaitu melantik satu panel yang akan memantau setiap kerja-kerja pengorekan jalan oleh syarikat kemudahan awam.

Jelasnya, sekiranya kerja-kerja yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi yang diinginkan, maka panel yang dilantik itu akan menyelesaikan masalah pada jalan terbabit dan akan mengenakan caj tersebut kepada syarikat kemudahan awam terbabit.

“Inilah antara tindakan yang akan kita lakukan untuk mengatasi masalah jalan berlubang di negeri ini. Nak kata semuanya akan sempurna, mungkin tidak. Tetapi sekurang-kurangnya kita berikrar lakukan yang terbaik untuk keselesaan pengguna,” katanya lagi.

Terdahulu, jalan berlubang menjadi antara isu hangat diperkatakan warganet selepas insiden yang menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Khairy mengalami kecederaan ringan di bahagian muka selepas terjatuh akibat jalan berlubang ketika melakukan aktiviti berbasikal di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Insiden itu telah menyebabkan JKR Kuala Langat tampil memohon maaf dan mengambil tindakan segera menurap kembali jalan terbabit.

Views:

756
Kongsi :
Previous post Dr Noor Hisham hargai usaha bendung COVID-19 di Melaka
Next post IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka yang pertama perkenal PISP
Ubah saiz-+=