Dr Noor Hisham hargai usaha bendung COVID-19 di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MERLIMAU 30 Dis. – Kerjasama bersepadu di antara pelbagai agensi di negeri ini dalam usaha membendung peningkatan kes positif COVID-19 mendapat penghargaan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham mengakui kerjasama erat di antara semua agensi dan jabatan berkaitan di lapangan menunjukkan Melaka sudah bersedia untuk menghadapi peningkatan mendadak kes COVID-19 terutama melibatkan banduan dan orang kena tahan (OKT).

“Bagi pihak KKM, saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di lapangan terutamanya di Negeri Melaka dalam membantu kami membendung pandemik COVID-19.

“Semoga kerjasama bersepadu ini akan dapat diteruskan dan dimantapkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Koreksional Jasin (PKJ), hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Datuk Rahmad Mariman; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Ismail Ali; Pegawai Daerah Jasin Datuk Anis Ali Hasan dan Pengarah Pertahanan Awam Malaysia negeri Lt. Kol (PA) Effendy Ali.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan PKRC PKJ mula beroperasi pada 23 Disember lalu dengan kapasiti untuk menempatkan 108 orang pesakit COVID-19 berisiko rendah (tidak bergejala dan bergejala ringan).

Ujarnya, seramai 19 anggota kesihatan telah ditugaskan di kawasan terbabit merangkumi pegawai perubatan, paramedik dan pembantu perawatan kesihatan yang turut dibantu 51 anggota daripada pelbagai agensi lain untuk memudahkan urusan kerja di lapangan.

Untuk rekod, PKJ menjadi kawasan pertama dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 membabitkan banduan dan OKT.

PKPD itu dikuatkuasakan bermula 22 Disember sehingga 4 Januari 2021 yang meliputi PKJ berserta kuarters kakitangan untuk mengelakkan penularan jangkitan dalam komuniti.

Sehingga 29 Disember, secara kumulatif sebanyak 281 kes positif telah dikesan dalam kalangan tahanan di mana 274 daripadanya merupakan kes berkaitan Kluster Penjara Jalan Harapan.

 

Views:

564
Kongsi :
Previous post Syarikat pembekal daging, dua pengarah didakwa guna logo halal tanpa diperakui
Next post Unit rondaan selesaikan 200 kes jalan berlubang di Melaka
Ubah saiz-+=