Sorting by

×

DULU ‘KAWASAN MERAH’, KINI GUNUNG EMAS

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

ASAHAN 28 April – Sejarah sesuatu kampung merupakan asas kepada penghayatan asal-usul, perkembangan dan identiti sesebuah komuniti tempatan.

Dengan menelusuri sejarahnya, ia membolehkan kita memahami peristiwa penting yang membentuk kehidupan generasi terdahulu, begitu juga dengan Kampung Baru Gunung Emas yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Tan Kee Boon, 76, yang merupakan anak jati kampung itu berkongsi lembaran kisah kampung itu yang dahulunya pernah dikenali sebagai ‘kawasan merah’ kerana ancaman komunis, sehinggalah ia kini menjadi sebuah kampung harmoni yang dihuni masyarakat berbilang kaum.

Dia yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai setiausaha kampung berkata, ketika era penjajahan sehinggalah selepas merdeka, kehidupan penduduk kampung itu amat sukar dan perlu menempuh pelbagai liku serta cabaran.

“Dahulu kampung ini terkenal sebagai kawasan ancaman komunis. Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu atau ‘Home Guard’ ditugaskan mengawal keselamatan kawasan ini.

“Semua penduduk diarah menjalani perintah berkurung untuk tidak keluar rumah antara pukul 6 petang hingga 6 pagi demi keselamatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru Gunung Emas, di sini.

Menurut Kee Boon, bapanya, Tan Nai Kwi, menjadi antara watak penting kepada kewujudan Kampung Gunung Emas apabila dilantik menjadi Jaksa Pendamai (JP) pertama di kawasan Jasin.

Ketika itu, ujarnya, antara tugas bapanya adalah membabitkan hal-hal mengurus tanah, membahagikan lot dan membina rumah untuk penduduk kampung.

“Meskipun bapa saya memainkan peranan penting dalam membangunkan kampung ini, namun dia tidak pernah berniat untuk menamakan kampung atas namanya sendiri.

“Namun, sebagai penghargaan atas jasa bapa saya, salah satu jalan di kampung ini telah dinamakan ‘Jalan Tan Nai Kwi’,” katanya.

Bercerita mengenai sejarah nama Kampung Gunung Emas, Kee Boon berkata, nama itu dipilih selepas mengadakan perbincangan bersama penduduk, di mana ia sarat dengan pelbagai maksud dan simbol.

Jelasnya, nama itu menjadi pilihan kerana kedudukan kampung itu yang terletak berhampiran Gunung Ledang, di mana apabila diterjemah ke dalam bahasa Cina, Gunung Ledang dikenali sebagai ‘Jin Shan’ yang membawa maksud ‘Gunung Emas’.

Tambahnya, menurut satu catatan sejarah purba, puncak Gunung Ledang juga dikatakan menjadi tempat simpanan banyak emas sehingga menarik minat pedagang dari China dan Greece suatu masa dahulu.

Hari ini, Kampung Baru Gunung Emas menempatkan penduduk pelbagai kaum, dengan majoriti kaum Cina hidup dalam suasana harmoni sambil memelihara adat dan budaya masing-masing.

Dari tanah yang suatu ketika dahulu dianggap berbahaya, kini lahir sebuah komuniti yang aman dan sejahtera dan menjadi simbol perpaduan di bawah DUN Asahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

241
Kongsi :
Previous post MELAKA MILIKI 10 KOPERASI PELANCONGAN
Next post MELAKA SASAR TAMBAH DUA AMBULANS SETIAP TAHUN