
MELAKA MILIKI 10 KOPERASI PELANCONGAN
SERI NEGERI 28 April – Sebagai sebuah negeri pelancongan, koperasi berasaskan sektor itu kini semakin berkembang, kata Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin.
Menurut beliau, setakat ini terdapat sebanyak 10 koperasi pelancongan beroperasi di Melaka dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya inap desa, kraftangan, penginapan hotel dan mengedalikan kenderaan lasak (ATV).
Meskipun jumlah masih kecil, beliau yakin jumlah itu akan meningkat pada masa akan datang selaras dengan langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam mempromosikan sektor pelancongan Melaka menerusi pelbagai acara peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.
“Sebagai usaha memperkasa koperasi pelancongan, kita turut membawa wakil koperasi ke Terengganu pada tahun lalu bagi meninjau sendiri pengurusan koperasi pelancongan yang berjaya, selain mendapatkan pandangan serta idea baharu untuk dilaksanakan di Melaka.
“Bukan hanya itu, malah, koperasi ini juga berpotensi besar untuk diketengahkan dalam kategori ekopelancongan antaranya seperti ladang sayuran dan buah-buahan yang bukan sahaja memberi pengalaman unik kepada pelancong, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian sidang media selepas menghadiri Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Allex, setakat ini Melaka mempunyai sebanyak 516 koperasi merangkumi pelbagai skala daripada mikro hingga ke peringkat lebih besar, dengan penglibatan kira-kira 177,000 ahli.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


