Sorting by

×

PEGAWAI JKM DI DAERAH JADI EJEN PEMBANGUNAN SOSIAL MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 28 April – Pegawai Kes Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri di peringkat daerah memainkan pelbagai peranan penting dalam aspek pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, selain tugasan menguruskan bantuan khas kewangan bulanan kepada klien, pegawai-pegawai terbabit turut menggalas tanggungjawab tambahan berkenaan.

Katanya, antara peranan dan tanggungjawab tambahan yang dilaksanakan termasuklah pembangunan dan pemantauan klien produktif melalui pelaksanaan ‘Two Years Exit Programme’ (2YEP).

“Selain itu, peranan tambahan yang turut dilakukan melibatkan pengurusan krisis dan bencana, termasuk sokongan awal kepada mangsa yang terjejas.

“Mereka ini turut terlibat dalam pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa berlakunya bencana; menguruskan bantuan MESRA lampin pakai buang dewasa kepada individu terlantar dan warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai peranan serta tanggungjawab pekerja kes daerah selain uruskan bantuan kewangan bulanan klien JKM negeri pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata, pegawai-pegawai JKM turut terlibat bagi penyelarasan Program Sumbangan Perayaan Kerajaan Negeri sempena musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfiti, Deepavali dan Krismas.

“Peranan tambahan turut membabitkan pendaftaran orang kurang upaya (OKU) mengikut peruntukan di bawah Akta OKU 2008; Penguatkuasaan Operasi menangani Gejala Pengemis dan Gelandangan menerusi Operasi Orang Papa.

“Mereka ini turut berfungsi sebagai pelindung kanak-kanak dan Pegawai Akhlak mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Orang-Orang Papa 1977.

“Pengurusan aduan dan rujukan kes kebajikan yang diterima di peringkat daerah, termasuk melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) dan Talian Kasih,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

228
Kongsi :
Previous post TOKONG SATU ABAD PONDOK BATANG SIMBOL WARISAN
Next post MELAKA MILIKI 10 KOPERASI PELANCONGAN