Sorting by

×

WRUR TELOK MAS ‘AJAK SEKAMPUNG’ MERIAHKAN 130 ACARA

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

TELOK MAS 12 Jun – Sebanyak 130 program menarik untuk segenap lapisan masyarakat bakal mewarnai kehidupan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

WRUR DUN Telok Mas yang berlangsung selama seminggu bermula 14 hingga 20 Jun ini merupakan siri ke-19 dianjurkan di Negeri Melaka yang bermatlamat untuk menyantuni masyarakat dan mendekatkan pentadbiran Kerajaan Negeri dengan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program itu akan membuka tirai dengan Ajak Sekampung Festival 2026 yang menampilkan pelbagai acara dan aktiviti menarik untuk seisi keluarga bertempat di Padang Bola Sepak Taman Seri Telok Mas.

Katanya, festival itu merupakan antara kelainan yang dibawa pada edisi WRUR kali ini, di mana ia menghimpunkan pelbagai acara menarik seperti aktiviti sukan lasak, panjat tiang licin, pertandingan memasak, sukaneka, sukan rakyat, tarik tali, servis motosikal percuma dan lain-lain lagi.

“Ini bukan sekadar sebuah program riadah dan hiburan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat dengan agensi kerajaan.

“Antara yang menarik adalah cabaran panjat tiang licin, di mana kita menyediakan hadiah utama berjumlah RM1,000 kepada pemenang dan sudah pasti banyak lagi program menarik yang disediakan,” katanya ketika bersiaran di MELAKAfm bagi mempromosikan WRUR Kota Melaka: Kampung Kita DUN Telok Mas.

Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri memaklumkan, sepanjang seminggu juga, pelbagai lagi program menarik berteraskan kebajikan, pendidikan, kebudayaan, keagamaan, komuniti dan lain-lain akan diadakan di seluruh kawasan DUN Telok Mas.

“Kita juga ada Telok Mas Heritage Fun Run yang menerima sambutan hebat apabila menarik lebih 3,000 penyertaan, selain pertandingan memancing pesisir pantai pula sudah menerima lebih 800 penyertaan.

“Turut diadakan Malam Lestari Warisan yang mengetengahkan budaya masyarakat Cina dan India, mnanakala Malam Kesyukuran Telok Mas pula menjadi pengisian kerohanian untuk umat Islam yang juga akan membawakan forum agama.

“Pada masa sama, kita juga akan meraikan pelajar cemerlang dan pesara-pesara kerajaan, sekali gus membuktikan bahawa WRUR ini memberi kesan kepada segenap lapisan masyarakat,” ujar beliau.

Menurut Abdul Razak, acara kemuncak atau penutup WRUR DUN Telok Mas akan diadakan pada malam Sabtu, 20 Jun yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Menariknya, sempena acara penutup, kita menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik antaranya, dua ekor lembu, lima ekor kampung dan empat buah motosikal.

“Jadi, saya mengajak seluruh warga Telok Mas dan rakyat Melaka untuk bersama-sama memeriahkan pelbagai acara menarik yang dibawakan ini,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post YAYASAN PELAJARAN MARA BANTU PERKASA AKADEMIK ANAK MELAKA
Next post SETIAP ANAK ADA KEISTIMEWAAN TERSENDIRI – ALLEX