Sorting by

×

SETIAP ANAK ADA KEISTIMEWAAN TERSENDIRI – ALLEX

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KESIDANG 12 Jun – Kejayaan bagi kanak-kanak bukan diukur berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya ada murid yang menyerlah dalam sukan, kepimpinan, sahsiah serta pelbagai bidang lain.

Bagi menghargai potensi dan pencapaian tersebut, seramai 1,200 murid daripada 12 sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang menerima pengiktirafan menerusi Anugerah 100 Terbaik sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Kesidang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, anugerah itu memberi ruang kepada pihak sekolah mengiktiraf murid yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek mengikut kriteria dan penilaian masing-masing.

Menurutnya, pemilihan penerima tidak terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kecemerlangan dalam sukan, sahsiah, inovasi, kepimpinan serta pendidikan khas.

“Kita datang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera 1 untuk memberikan Anugerah 100 Terbaik di DUN Kesidang, kita ada 12 sekolah terdiri daripada emapat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tujuh SK dan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

“Setiap sekolah kita berikan 100 murid yang terpilih oleh pihak sekolah berdasarkan pelbagai kategori. Saya percaya setiap anak mempunyai kelebihan tersendiri, anugerah ini boleh menjadi motivasi untuk mereka berusaha dengan gigih demi masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Anugerah 100 Terbaik DUN Kesidang di Dewan Lestari SK Tengkera 1 bersempena Program WRUR Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita DUN Kesidang, di sini, hari ini.

Hadir sama Guru Besar SK Tengkera 1 Sabarina Yaakop; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tengkera 1 Datuk Norazize Annual, barisan pentadbir dan pengurusan sekolah.

Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berharap program itu dapat menjadi platform untuk menyuntik semangat dan memberi pengiktirafan kepada murid-murid agar terus cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Pada masa sama, kita juga mahu murid-murid ini sedar bahawa setiap usaha mereka lakukan hari ini akan membentuk masa depan mereka, sebab itu pengiktirafan seperti ini penting sebagai dorongan untuk mereka terus berusaha dan tidak mudah berputus asa,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan murid-murid menerima pelbagai kategori anugerah termasuk Anugerah Permata Intelek, Anugerah Minda Bestari, Anugerah Ikon Intelek, Anugerah Permata Potensi, Anugerah Jaguh Arena, Anugerah Semangat Juara, Anugerah Insan Mithali, Anugerah Kehadiran Cemerlang, Anugerah Ikon Kepimpinan dan Anugerah Pemimpin Harapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post WRUR TELOK MAS ‘AJAK SEKAMPUNG’ MERIAHKAN 130 ACARA
Next post PAMERAN ROBOTIK, TEKNOLOGI DUNIA AI TERBESAR DI MELAKA ESOK