
MELAKA SEDIA PELBAGAI BANTUAN, SOKONGAN BANTU KOPERASI BERKEMBANG
SERI NEGERI 29 April – Kerajaan Negeri komited memperkasa koperasi di negeri ini dengan memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi Bantuan Pemerkasaan Koperasi Kluster Mikro (E-Mikro) sepanjang tahun ini.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, bantuan itu mula diperkenalkan tahun lalu dan telah memberi manfaat kepada beberapa koperasi berkembang.
Jelas beliau, antara koperasi yang telah menerima geran bantuan E-Mikro adalah Koperasi Kampung Paya Luboh Melaka Berhad dan Koperasi Bakti Melaka Berhad, di mana, ia membabitkan peruntukan berjumlah RM10,000 dan RM7,000 bagi perkhidmatan sewaan ATV dan inap desa.
“Kerajaan negeri komited untuk terus membantu koperasi berkembang melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif yang telah disediakan dan pada masa sama, kita mahu memastikan setiap koperasi di Melaka mampu menjadi pemacu ekonomi komuniti yang mampan dan berdaya saing ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH-Banda Hilir) mengenai koperasi pelancongan pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Menurut Allex, selain E-Mikro, Kerajaan Negeri menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Melaka turut menyediakan geran sehingga RM300,000, Tabung Modal Pusingan SKM serta insentif khas (E-Perkasa) berjumlah RM200,000 bagi membantu koperasi mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Pada masa sama, ujar beliau, latihan, kursus dan bimbingan teknikal turut disediakan bagi meningkatkan lagi kemahiran pengurusan, pemasaran dan pembangunan kapasiti keusahawanan dalam kalangan anggota koperasi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


