
KAMPUNG MASJID BARU KINI ‘BERCAHAYA’
ASAHAN 28 April – Pelbagai projek infrastruktur telah dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan dalam kawasan Masjid Baru bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Masjid Baru, Ismail Ahmad berkata, antara yang terbaharu ialah pemasangan 22 batang lampu jalan melibatkan tiga kampung di bawah kawasan terbabit.
Katanya, usaha itu bagi mengurangkan kawasan gelap di laluan utama penduduk dan masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
“Kerja-kerja menaik taraf itu memberi manfaat kepada penduduk yang sering melalui kawasan Kampung Relau; Kampung Gubah dan Kampung Batu Pondok Batang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, selain penambahan lampu jalan, kemudahan padang bola sepak yang bernilai RM150,000 dalam kawasan Masjid Baru juga turut memberi manfaat kepada golongan belia dalam kawasan itu.
“Padang bola sepak ini dinaik taraf, termasuk penyediaan tempat duduk penonton, di mana yang menerima manfaat sudah pasti penduduk kampung sekitar khususnya golongan belia untuk menjalankan aktiviti riadah dalam persekitaran lebih selesa.
“Selain padang, beberapa kawasan rekreasi lama yang sebelum ini usang juga telah dinaik taraf untuk kegunaan komuniti.
“Turut dirancang adalah untuk membina sebuah dewan serbaguna terbuka di hadapan Balai Raya Masjid Baru bagi kegunaan penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


