
AB RAUF MAHU ILMU DBA TURUN KE LAPANGAN, BERI MANFAAT KEPADA RAKYAT
BANGI 20 November – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh mahu ilmu yang diperoleh menerusi pengajian Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) tidak sekadar menjadi pencapaian akademik, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian masalah dan manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, ilmu yang dipelajari perlu diaplikasikan dalam kehidupan sebenar, khususnya bagi menangani permasalahan rakyat serta membawa perubahan yang dapat dirasai secara langsung.
“Saya tidak mahu ilmu yang saya pelajari hanya tersimpan, tetapi saya mahu ilmu itu turun ke lapangan, menyentuh kehidupan dan membawa perubahan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Penyelia dan Pemakaian Jubah Graduan Kedoktoran Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) di Dewan Persidangan CRIM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Ab Rauf berkata, kesedaran itu mendorong beliau memilih Kampung Digital sebagai bidang penyelidikan kerana mahu melihat bagaimana ilmu dan teknologi dapat menyelesaikan permasalahan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Menurutnya, ketika dunia semakin memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan dan teknologi pintar, masih terdapat keperluan asas masyarakat kampung yang perlu diberikan perhatian, termasuk sistem alamat kediaman.
Beliau berkata, kejayaan sebenar dalam menuntut ilmu bukan hanya diukur melalui gelaran atau pengiktirafan yang diterima, tetapi sejauh mana pengetahuan itu mampu membantu kehidupan orang lain.
“Kejayaan sebenar adalah apabila ilmu yang kita miliki mampu menyelesaikan masalah, memudahkan kehidupan dan memberikan harapan kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


