Sorting by

×

1 PBT 1 AMBULANS: KOMITMEN MELAKA SEDIA PERKHIDMATAN KECEMASAN LEBIH MENYELURUH

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SERI NEGERI 28 April – Semua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka kini memiliki perkhidmatan ambulans sendiri, sekali gus meningkatkan lagi tahap kecekapan dan memendekkan tempoh tindak balas bagi sebarang kes kecemasan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif ‘1 PBT 1 Ambulans’ yang dilaksanakan sudah pasti akan memperkukuhkan lagi sistem tindak balas kecemasan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, pelaksanaan inisiatif 1 PBT 1 Ambulans secara keseluruhan melibatkan kos berjumlah RM484,072.

Menurutnya, perkhidmatan terbaharu itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan akses bantuan kecemasan lebih pantas dan menyeluruh, sejajar dengan peningkatan keperluan perkhidmatan ambulans di negeri ini.

“Berdasarkan rekod semasa, lebih 160 kes kecemasan di negeri ini memerlukan perkhidmatan ambulans setiap bulan, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk menambah aset dan memperluaskan liputan perkhidmatan.

“Dengan penambahan empat ambulans ini, kita dapat memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan di setiap zon PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

“Dua ambulans diserahkan kepada St John Ambulans Malaysia (SJAM) manakala dua lagi kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dikendalikan mengikut zon yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PBT Negeri Melaka dengan SJAM dan APM Negeri Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Turut hadir Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron; Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Ab Rauf berkata perkhidmatan itu menjadi pelengkap kepada inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) yang berfungsi untuk memberikan bantuan awal sebelum ketibaan ambulans.

“Saya ingin tegaskan, Kerajaan Negeri Melaka tidak menunggu krisis untuk bertindak kerana bagi kita, setiap nyawa rakyat adalah keutamaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

267
Kongsi :
Previous post JKM BUAT PENILAIAN SECARA HOLISTIK SEBELUM SALUR BANTUAN
Next post TOKONG SATU ABAD PONDOK BATANG SIMBOL WARISAN