Sorting by

×

ISU BANJIR, SRA JAIM FOKUS UTAMA WRUR DUN BEMBAN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BEMBAN 23 Jun – Penyelesaian isu banjir dan pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) baharu di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), antara fokus utama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, bermula semalam hingga 7 Julai depan

Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop berkata, sebanyak 135 program telah dirangka sepanjang tempoh dua minggu itu, dengan pelaksanaan aktiviti melibatkan peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai tumpuan utama.

“Setiap JPKK akan anjurkan program dan kita minta agensi kerajaan turun padang bagi membolehkan masyarakat datang terus ke lokasi untuk buat aduan dan berbincang secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program WRUR DUN Bemban dan Penyerahan Taman Rekreasi Kesang Damai di Taman Kesang Damai, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.

Katanya, WRUR permudahkan urusan rakyat masyarakat kerana tidak perlu ke pejabat agensi atau Jabatan berkaitan bagi menyelesaikan permasalahan mereka.

“Setakat ini, DUN Bemban mempunyai kira-kira 34,000 orang penduduk dan pelbagai program kemasyarakatan dirangka khusus mengikut kesesuaian setempat.

“Kita tidak boleh laksanakan semua program di peringkat kampung kerana permintaan tinggi. Sebab itu kita adakan juga program berpusat di Japerun agar semua agensi berkaitan dapat dikumpulkan dan orang ramai boleh datang,” katanya.

Mohd Raziff turut memuji inisiatif WRUR yang disifatkan sebagai cetusan idea bernas oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana berjaya ‘merakyatkan’ agensi kerajaan dan membawa penyelesaian lebih dekat kepada komuniti.

“Inilah kali pertama program sebegini diadakan secara menyeluruh dan saya percaya ia sangat berkesan dalam menyantuni rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post 40 SYARIKAT PENGENDALI BAS DI MELAKA AKAN DIAUDIT MENYELURUH
Next post TAMAN REKREASI KESANG DAMAI KINI LEBIH CERIA, KONDUSIF