Sorting by

×

Isu Taman Seri Aman Lagenda terbengkalai selesai Disember depan

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER LIMAU 27 Mei – Isu projek Taman Seri Aman Lagenda, di sini yang terbengkalai sejak 2017 dijangka selesai menjelang Disember depan.

Ia berikutan langkah kerajaan negeri melanjutkan enam bulan lagi untuk pemaju menyempurnakan kerja menyiapkan keseluruhan 54 unit rumah kos sederhana tinggi dalam tempoh berkenaan dengan kaedah menyiapkannya dibahagikan kepada tiga fasa.

Bagi setiap fasa yang berselang dua bulan mulai hari ini, pembeli diberi peluang menghuni rumah secara berperingkat berdasarkan kerja penyempurnaan projek.

Menjelaskan perkara itu, EXCO Perumahan negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kerajaan negeri tidak mahu membebankan pemaju dengan mengambil langkah ‘menghukum,’ sebaliknya mempraktikkan langkah membantu syarikat berkenaan.

“Daripada menghukum pemaju, lebih baik kita ambil langkah membantunya bagi memastikan projek itu mampu disiapkan bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pemaju dan pembeli.

“Apabila sebahagian unit sudah disiapkan dalam tempoh dua bulan, pembeli akan masuk (menghuni) rumah itu dan begitulah seterusnya hingga ia selesai dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau projek berkenaan bersama-sama Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom, selain pemaju dan pembeli rumah hari ini.

Zaidi bagaimanapun menegaskan, pemaju tidak dibenarkan mengenakan caj tambahan terhadap pembeli berikutan terpaksa menanggung kos tambahan bagi memastikan projek itu mampu disiapkan mengikut jadual.

Katanya, pemaju juga diwajibkan membina tangki air utama dan menjalankan kerja pembaikan cerun yang sebahagian daripadanya sudah runtuh akibat hujan lebat.

Januari lalu, ketika meninjau projek berkenaan, Zaidi dilaporkan berkata, pemaju diberikan masa secukupnya untuk menyiapkan keseluruhan unit rumah berkenaan.

Sementara itu, Mohd Salleh berkata, LPM akan memastikan pemaju mengotakan janji untuk melengkapkan projek berkenaan mengikut jadual.

“Walaupun sudah jauh daripada tempoh asal untuk menyiapkannya, LPM yakin pemaju mampu menyempurnakannya demi kebajikan pembeli,” katanya.

Intan Nurfarhana (kiri sekali) berbincang dengan pemimpin masyarakat dan pembeli ketika menyertai Zaidi meninjau pembinaan Taman Seri Aman Lagenda yang terbengkalai di Masjid Tanah hari ini. Foto Din Ahmad

Wakil pembeli, Intan Nurfarhana Kamarolzaman, 32, berkata meskipun agak berat untuk menerima kaedah penyelesaian itu, mereka berpuas hati kerana pemaju komited untuk membantu mengatasi masalah yang membebankan mereka sejak lima tahun lalu.

“Kami amat berharap pemaju mampu mengotakan janji kerana kemelut itu sudah berlarutan sejak 2017 dan kami terpaksa membayar balik pinjaman perumahan tetapi tidak mampu tinggal di rumah idaman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1787
Kongsi :
Previous post Kenaikan kadar elaun penuntut luar negara tajaan MARA masih diteliti – Mahdzir
Next post KPDNHEP gesa 90 Parlimen segerakan lantikan PKP
Ubah saiz-+=