Sorting by

×

Jadikan Melaka hub ekonomi hijau – KM

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SERI NEGERI 16 Mac – Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Melaka sebagai hub Ekonomi Hijau (Green State Economy) yang boleh menjaminkesejahteraan manusia, ekuiti sosial lebih baik, mengurangkan risiko alam sekitar dan kelangkaan ekologi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Kerajaan Negeri perlu memulakan gerakan itu dengan pelan dan visi terhadap Ekonomi Hijau selari dengan tindakan kerajaan Persekutuan yang sentiasa menambah peruntukan dalam Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT).

Menurutnya, dalam pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, pembangunan Ekonomi Hijau diberi peruntukan hampir RM600 juta merangkumi pewartaan kawasan perlindungan baharu habitat, program perlindungan binatang dan spesis hidupan liar, kawalan hutan.

“Selain pengurusan sungai saliran mesra alam, pengawalanseliaan alam sekitar, pengasingan sisa dan kitar semula, pengurusan teknologi tepat dan kelestarian pertanian, pembangunan komuniti sifar sisa, projek teknologi hijau dan eko pelancongan.

“Bank Negara Malaysia (BNM) juga memberi kemudahan pembiayaan kepada Economi Hijau ini. Peruntukan sebanyak RM1 bilion dalam Dana Pembiayaan Teknologi Tinggi dan Hijau, manakala peruntukan sebanyak RM1 bilion pula bagi Dana Pembiayaan Peralihan Karbon Rendah, selain Khazanah Nasional memperuntukkan RM150 juta untuk Pembangunan Projek Mesra Alam.

“Selain itu, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) menaikkan nilai jaminan kepada RM3 bilion sehingga 2025, manakala Bank Pembangunan Malaysia turut memperuntukkan RM1 billion bagi Skim Pembangunan Mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada hari keempat Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke -15 di sini, hari ini.

Terdahulu Sulaiman menggariskan lima agenda utama negeri perlu dicapai pada tahun ini yang memerlukan komitmen semua pihak bukan sahaja di agensi peringkat negeri, malah agensi peringkat persekutuan.

Lima agenda utama itu ialah Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka atau Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ); perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan dan menangani kesesakan lalu lintas; menyegerakan Pendigitalan 4G dan 5G; pemerkasaan sektor pelancongan dan menjadikan Negeri Melaka kembali sebagai negeri terbersih dan selamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post Ladang ternakan baharu perlu jauh dari kawasan perumahan
Next post Melaka lokasi kajian pelan strategik pengangkutan awam – KM
Ubah saiz-+=