Ladang ternakan baharu perlu jauh dari kawasan perumahan
SERI NEGERI 16 Mac – Kerajaan Negeri menetapkan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pembinaan ladang ternakan baharu di negeri ini dengan memastikan radius antara kediaman dan ladang ternakan memenuhi syarat pelesenan ditetapkan.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, beberapa SOP yang diperkenalkan bagi memastikan isu pencemaran bau dan serangan lalat ke atas penduduk dapat diatasi.
Jelasnya, pelan lokasi ladang unggas yang menunjukkan jarak radius dari mana-mana rumah kediaman, sekolah, klinik atau tempat ibadat berdekatan hendaklah dinyatakan dengan jarak minimum mengikut kapasiti penternakan ladang.
“Bagi ladang baharu yang menternak 500 ekor atau kurang daripada itu radius yang diperlukan adalah minimum kepada 200 meter (m) diikuti kapasiti 501-10,000 ekor jarak minimumnya adalah 500 meter manakala kapasiti lebih daripada 10,000 ekor adalah sejauh 2 kilometer (km) jarak minimum ditetapkan.
“Bagaimanapun, akibat pembangunan pesat mendapat banyak projek-projek perumahan semakin pesat menghampiri kawasan ladang ketika ini ia tidak mampu dihalang, namun penguatkuasaan dan pemantauan terutama di kawasan titik panas yang dikenal pasti akan dipertingkatkan.
“Antaranya adalah di kawasan sekitar Selandar, Tebong dan Machap malah kita juga akan sentiasa mengingatkan kepada peladang dan penternak suapaya mengamalkan amalan penternakan yang baik ke arah penternakan mesra alam bagi memastikan tiada isu berkaitan aktiviti penternakan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) pada hari keempat Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, selain pelaksanaan sistem reban tertutup, penternakan berkapasiti lebih 10,000 dan kurang daripada 50,000 ternakan mestilah mempunyai pelan yang dikeluarkan oleh arkitek berdaftar dan diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Penempatan ladang unggas baharu juga akan diambil kira sebelum kelulusan perlesanan dan permit diluluskan dan perlu mematuhi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta peraturan daripada jabatan dan agensi berkaitan seperti penggunaan tanah daripada Pejabat Daerah dan tanah dan kelulusan permit daripada PBT.
“Salinan Kebenaran Merancang adalah diwajibkan ke atas ladang unggas yang melebihi kapasiti 50,000 ekor ternakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.