JAIM benarkan solat Jumaat lebih 12 orang

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BUKIT PALAH 17 Jun – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membenarkan 100 jemaah solat Jumaat bagi tujuh masjid kerajaan dan 50 orang di masjid dan surau Jumaat di kariah seluruh negeri, mulai esok.

Tujuh masjid kerajaan ialah masjid yang ditadbir secara terus oleh JAIM manakala masjid dan surau Jumaat (surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat) adalah yang ditadbir oleh Pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) dipilih anak kariah masing-masing.

Pengarah JAIM Datuk Che Shukri Che Mat bagaimanapun berkata, jemaah solat fardu dan solat jenazah kekal 12 orang seperti yang ditetapkan sejak sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

“Berdasarkan situasi semasa, Kerajaan Melaka melalui keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Melaka yang bersidang pada 16 Jun 2021 bersetuju mengeluarkan ketetapan baharu berkaitan jumlah maksimum jemaah solat Jumaat,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Bagaimanapun, aktiviti lain di masjid masih ditangguhkan, iaitu majlis bacaan surah Yasin dan tahlil, ceramah agama, akad nikah, kursus, bengkel, jamuan dan gotong-royong.

“JAIM berhak menarik semula kebenaran itu jika masjid atau surau didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berkaitan pandemik COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, jemaah solat Jumaat dan fardu di masjid di negeri ini dihadkan 12 orang berikutan sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 di seluruh negara mulai 1 Jun lalu hingga 28 Jun ini.

Sehubungan itu, JAIM meminta masjid dan surau memperdengarkan bacaan surah Yasin dan surah lain serta doa memohon Allah melindungi rakyat daripada pandemik COVID-19 mulai 29 Mei lalu.

Surah Yasin dan doa harus diperdengarkan melalui alat pembesar suara selepas solat Maghrib.

Surah lain dan doa harus diperdengarkan selepas solat fardu yang lain manakala imam harus membaca doa qunut nazilah pada rakaat akhir solat Subuh, Isyak dan Jumaat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

796
Kongsi :
Previous post ‘Tak sakit pun suntik vaksin COVID-19’
Next post Ibu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya meninggal dunia
Ubah saiz-+=