Jalan Batang Kali – Genting dijangka dibuka kepada pengguna motosikal seminggu lagi

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TANAH MERAH, 23 Dis – Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor dijangka dibuka kepada pengguna motosikal dalam tempoh seminggu lagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata laluan tersebut akan dibuka secara berperingkat kepada kenderaan lain kerana pihaknya masih melakukan pemantauan di kawasan insiden tanah runtuh terbabit.

“Kita harap (jalan) akan dibuka dalam seminggu lebih kepada pengguna motosikal. Beri peluang kepada kita untuk teliti dan tengok pergerakan tanah sebab pergerakan masih berlaku.

“Alat pengesan yang kita pasang menunjukkan masih ada lagi pergerakan tanah antara dua hingga empat milimeter (mm) yang memerlukan masa untuk pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Jambatan Kusial, di sini hari ini, susulan berlaku runtuhan dan hakisan tebing di bawah jambatan terbabit.

Mengulas lanjut, Nanta berkata semua pihak perlu beri perluang kepada pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kerja-kerja di kawasan insiden tanah runtuh itu kerana ingin memastikan keselamatan kepada pengguna jalan raya.

“Kita tidak mahu tergesa-gesa walaupun ada desakan daripada netizen yang mahu laluan di kawasan tanah runtuh Batang Kali dibuka dengan segera.

“Saya difahamkan pegawai JKR ketika ini juga sedang melihat pergerakan tanah yang berlaku sebab itu kita mahu lakukan yang terbaik demi menjaga keselamatan pengguna,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada Selasa dilapor berkata jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.

Berikutan penutupan itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan (B113 Jalan Batang Kali-Ulu Yam sehingga ke B23 Jalan Ulu Yam-Batu Caves) atau melalui laluan utama (FT1001 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh).

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu, yang terletak di Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.

Setakat ini, 30 nyawa terkorban, 61 selamat manakala seorang lagi masih hilang daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1817
Kongsi :
Previous post Shamsul Iskandar dilantik Setiausaha Politik Kanan PM Anwar
Next post Banjir: LPT2 nasihat pengguna rancang perjalanan
Ubah saiz-+=