Jalan sesak, ribuan pelancong ‘serbu’ Pantai Pengkalan Balak

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PENGKALAN BALAK 1 Feb – Pantai Pengkalan Balak terus menjadi pilihan ribuan pelancong yang mahu menghabiskan cuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pantai peranginan itu terus mencatatkan peningkatan berganda jumlah kedatangan pelancong hari ini sehingga trafik jalan raya dilihat semakin sesak sejak tengah hari tadi.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Pantai Padang Kemunting mendapati jalan kecil selebar tidak kurang lima meter sepanjang hampir dua kilometer kini dipenuhi kenderaan keluar masuk mengakibatkan trafik keluar masuk begitu perlahan.

Jalan yang sepatutnya sehala tidak lagi dipraktikkan malah mereka terpaksa menunggu lama untuk bergerak secara giliran ditambah ruang parkir terhad selain kedudukan peniaga di tepi jalan.

LALUAN memasuki Pantai Pengkalan Balak bergerak perlahan.

Seorang pengunjung, Mohd Hafiz Mohd Yusoff,40, berkata, dia yang setiap tahun berkunjung ke pantai itu mengakui keadaan jalan itu sebelum ini dijadikan jalan sehala dan dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Jalan ini sebenarnya sehala tapi ada yang tidak prihatin mereka lalu sajalah, jadi kita mencadangkan mungkin di waktu puncak ini perlu ada RELA yang menjaganya bagi membantu untuk melancarkan perjalanan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia yang bercuti dari Puchong, Selangor turut mencadangkan beberapa pembangunan perlu diperluaskan dikawasan pelancongan itu seperti penyediaan tandas awam yang lebih kondusif.

“Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) seharusnya membina lebih banyak tandas, sini memang ada tandas tapi berbayar, yang disediakan pula tidak berbaloi dengan keadaanya yang menyedihkan malah tekanan air pula tidak kuat.

MOHD Hafiz Mohd Yusoff

“Selain itu, sebagai pengunjung kita mohon kerajaan sediakan lebih banyak tong sampah kerana kebiasannya bila orang ramai yang datang sini datang tak jumpa tong sampah, mereka hanya longgok dan tinggalkan saja,” katanya.

Dalam kemeriahan itu, ia juga membawa manfaat besar buat peniaga kecil dan penyedia perkhidmatan pelancongan di kawasan berkenaan.

Rata-rata peniaga menjadikan lokasi itu sebagai lubuk rezeki bagi meraih pendapatan selepas terkesan akibat pandemik COVID-19.

Seorang pekerja perkhidmatan sukan air, Alif Aidil Abu Hassan, 18 berkata, sambutan pelancong begitu menggalakkan sejak Jumaat lalu berbanding pada waktu hujung minggu pada bulan sebelum ini.

ALIF Aidil Abu Hassan

Katanya, perkhidmatan ‘banana boat’ yang dikendalikan merekodkan peningkatan dua kali ganda malah terus meningkat hari ini.

“Alhamdulillah, sambutan cukup menggalakkan setakat pagi tadi tiga buah bot yang disediakan kita menerima kira-kira 20 trip dari pelancong yang ingin menikmati sukan air di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1889
Kongsi :
Previous post Pelanggaran bot pelancong: Tujuh individu kini dirawat di HSNZ
Next post COVID: Kes baharu kembali lepasi angka 5,000 – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=