Jambatan sementara hubungkan semula Pulau Gadong-Setulang Daeng

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KLEBANG 14 November – Pembinaan ‘bailey bridge’ sebagai jambatan sementara bagi menghubungkan semula Pulau Gadong dan Kampung Setulang Daeng dijangka dibuka kepada orang ramai pada 18 November ini.

Usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri itu melegakan penduduk sekitar, sekali gus membantu mereka menjalani kehidupan biasa seperti sebelum ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pembinaan jambatan sementara itu mula dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka pada 10 November lalu.

“Inisiatif ini adalah tindakan awal dilaksanakan Kerajaan Negeri sebelum pembinaan sebuah jambatan baharu yang dijangka membabitkan kos sebanyak RM9 juta.

“Setelah kajian dilaksanakan pada 24 Oktober lalu, ibu pejabat JKR Malaysia memutuskan untuk membina sebuah ‘bailey bridge’ dengan kerjasama JKR Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan tapak pembinaan jambatan sementara itu di Kampung Setulang Daeng, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.

Photo 2023 11 14 15 05 31
Kakitangan JKR menjalankan kerja pembinaan jambatan sementara ketika mengadakan lawatan ke Kawasan Pembinaan Jambatan Sementara (Bailey Bridge) di Kampung Stulang Daeng, Klebang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hameed berkata, jambatan sementara dua lorong sepanjang 42 meter dengan lebar 7.3 meter itu boleh menampung berat maksimum kenderaan sehingga lima tan.

“Penggunaan maksimum jambatan jenis ini adalah lebih kurang dua tahun, namun jika mendapat kelulusan peruntukan bagi pembinaan jambatan baharu daripada Kerajaan Pusat dalam masa terdekat tempoh penggunaannya akan dipendekkan.

“Kerajaan Negeri sedang berusaha agar permohonan itu diluluskan segera. Kos pembinaan jambatan sementara ini juga diminimakan dan dijalankan secara dalaman oleh JKR.

“Kita hanya melantik kontraktor bagi sewaan mesin dan jentera selain penurapan jalan,” katanya.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan jambatan perhubungan desa berusia 25 tahun yang menghubungkan antara dua kampung terbabit runtuh pada 22 September lalu hingga menyulitkan pergerakan kira-kira 5,000 penduduk di sekitar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2975
Kongsi :
Previous post Penduduk resah masalah tanah runtuh belum selesai
Next post Tiga lelaki ditahan selepas empat jam samun wanita
Ubah saiz-+=