Jaminan infakkan harta ke jalan Allah SWT
Oleh: Datuk Hj. Ibrahim bin Hj. Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka
SETIAP umat Islam sangat memerlukan kehidupan yang bahagia dan berkat serta diredai oleh Allah SWT. Oleh itu, kita digalakkan untuk melakukan amal ibadah tidak kiralah ibadah itu wajib mahupun sunat.
Jika kita memperbanyakkan amalan sunat maka pahala akan berganda ganjarannya. Manakala jika melakukan amalan wajib sesuatu ibadah itu, maka Allah SWT akan memberi keberkatan dan keredaan dalam hidupnya semata-mata demi mengharap kasih sayang dari-Nya.
Justeru itu, ibadah sunat yang sangat digalakkan oleh agama Islam adalah menghulurkan sedekah. Sedekah bukan sahaja merupakan amalan yang terpuji, malah sangat tinggi nilainya. Sedekah juga adalah amalan yang sangat dicintai oleh Allah SWT. Hal ini kerana, manfaat sedekah dalam Islam boleh memberikan impak yang besar, malahan Allah SWT turut memberi jaminan ganjaran yang besar bagi mereka yang rajin bersedekah.
Kebiasaannya sedekah jariah merupakan sedekah yang tidak akan putus pahalanya. Pahalanya akan tetap mengalir dan termasuk dalam amalan yang Allah SWT amat cintai. Apabila seseorang itu mampu melakukan sedekah tersebut, maka Allah SWT akan janjikan syurga untuknya. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, yang bermaksud: “Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.” (Riwayat Muslim)
Di samping itu, amalan bersedekah memberi banyak hikmah, antaranya menghapus dosa, menyucikan harta dan meningkatkan hubungan sosial bagi sesama manusia. Banyak diantara manusia yang takut miskin apabila gemar bersedekahkan. Padahal dengan bersedekah, Allah SWT akan menjanjikan balasan yang baik dan dikurniakan ganjaran pahala yang berlipatganda. Allah SWT juga menjanjikan bahawa seseorang muslim itu tidak akan jatuh miskin sekiranya menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT. Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain melainkan Allah akan menambah kemuliaannya, dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Riwayat Muslim)
Walaubagaimanapun, ibadah wajib jangan sekali-kali ditinggalkan sepertimana pelaksanaan ibadah zakat yang amat dituntut dalam Islam iaitu merupakan Rukun Islam yang lima. Ibadah zakat ini dapat membersihkan harta dan menyucikan jiwa seseorang itu daripada sifat bakhil dan kedekut. Zakat yang dikeluarkan akan memberi banyak manfaat kepada 8 golongan asnaf yang memerlukan, lebih-lebih lagi mereka yang kehilangan punca pendapatan, kehilangan pekerjaan, perniagaan yang muflis disebabkan diuji dengan pandemik COVID-19 ini.
Selain itu, negara kita juga pernah dikejutkan dengan berita yang amat mendukacitakan dimana banyak tempat telah mengalami banjir besar sehinggakan harta benda rosak dibawa arus dan hilangnya orang yang tersayang. Dengan ibadah zakat yang dihulurkan oleh pembayar zakat sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mangsa banjir yang dialami oleh mereka ini khususnya di negeri Melaka. Zakat yang dihulurkan dapat memberi senyuman dan nafas baru kepada mangsa banjir dengan membina kehidupan semula setelah musnahnya harta benda dan kerugian ribuan ringgit. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 195, yang bermaksud: “Dan infakkanlah (hartamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”
Oleh yang demikian, masyarakat yang mampu menunaikan kewajipan yang dituntut oleh syariat Islam tanpa keraguan. Keadaan ini akan menggalakkan golongan asnaf yang dibantu dapat meningkatkan taraf hidup mereka dan secara tidak langsung ekonomi umat Islam akan lebih bertambah mantap seterusnya memantapkan juga ekonomi negara Islam secara keseluruhannya.
Semoga perkara kebaikan yang dilakukan akan mencapai kesempurnaan dalam kehidupan seseorang itu, bukan sahaja pemberi zakat atau sedekah tetapi penerimanya turut mendoakan kesejahteraan kepada si pemberi. Selain itu, agama Islam mengajar kita untuk tidak terlalu cinta kepada harta dunia. Hal ini kerana, semua hanya pinjaman oleh Allah SWT. Berusahalah semampu mungkin untuk menjadi seorang pemberi supaya dapat mengikis diri kita daripada sifat tamak dan cintakan dunia semata-mata, seterusnya dapat mendidik hati agar terus sentiasa bersyukur di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Mudah-mudahan ianya dapat menjadi sebahagian amalan yang menjadi bekalan di saham akhirat nanti. In Sha Allah.
Sebarang pembayaran & pertanyaan tentang info zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian Whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.