Sorting by

×

Melaka peruntuk RM880,000 sumbangan perayaan sepanjang 2023

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

LENDU 15 Januari – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM880,000 untuk disalurkan bagi sumbangan musim perayaan sepanjang tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sumbangan berjumlah RM200 kepada penerima itu disalurkan menerusi Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka tanpa mengira agama dan kaum.

Beliau berkata, untuk sambutan perayaan pembuka tirai 2023 iaitu Tahun Baharu Cina, seramai 1,160 masyarakat Tiong Hua yang kurang bernasib baik menerima sumbangan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM232,000.

“Keseluruhan peruntukan Kerajaan Negeri menerusi tabung ini akan diagihkan kepada ketiga-tiga daerah di Melaka dengan dipecahkan menerusi Parlimen masing-masing.

“Parlimen Masjid Tanah merupakan kelompok penerima pertama pada tahun ini dan bagi kawasan-kawasan lain, ia akan diagihkan minggu ini juga, sebelum sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kita mengagihkan bantuan seperti ini kepada semua jenis perayaan yang disambut di negara ini agar keutamaan kita untuk memastikan mereka yang kurang bernasib baik ini akan dapat menyambut perayaan mereka seperti mana individu yang lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Sumbangan Perayaan Tahun Baharu Cina Negeri Melaka 2023 di Dewan Kompleks Japerun Lendu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri Datuk Kalsom Nordin; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka Burhanuddin Bachik dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, selain sumbangan tersebut, terdapat bantuan tambahan lain turut disalurkan kepada golongan memerlukan sempena musim perayaan di negeri ini.

Jelasnya, bantuan tersebut merupakan inisiatif yang disalurkan menerusi Adun di setiap kawasan masing-masing bagi memilih golongan yang benar-benar layak menerima bantuan.

“Setiap wakil rakyat di kawasan masing-masing juga akan menyalurkan bantuan tambahan kepada mereka yang memerlukan selain daripada tabung yang kita peruntukkan ini.

“Malah, bantuan yang diterima ini juga tidak dinilai menerusi penerima bantuan JKM ataupun tidak, sebaliknya ia dipilih berdasarkan mana yang layak dan tidak pernah menerima bantuan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu pada program itu, Sulaiman yang juga Adun Lendu menyerahkan sumbangan kepada 225 penerima bagi Parlimen Masjid.

Selain sumbangan wang tunai, Sulaiman turut mengagihkan bantuan kit makanan dan sekotak limau mandarin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2127
Kongsi :
Previous post Jaminan infakkan harta ke jalan Allah SWT
Next post Tolong jaga diri, keluarga sepanjang musim perayaan – KM
Ubah saiz-+=