Janda dakwa dirogol polis, hadapi tuduhan edar, miliki dadah

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KOTA BHARU 15 Jun – Seorang ibu tunggal yang mendakwa dirinya dirogol seorang pegawai polis semasa dalam tahanan, hari ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, di sebuah rumah awal bulan ini.

Wanita yang berusia 28 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama bekas suaminya yang berumur 29 tahun.

Mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 61 gram (g) di sebuah rumah di Kampung Bunut Payong dekat sini pada 4.20 petang, 4 Jun lalu.

Ibu tunggal dan bekas suami didakwa di mahkamah atas tuduhan memiliki dan mengedar dadah. Foto- Malaysia Kini

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mereka juga dituduh memiliki dadah jenis sama dengan berat 13.6g pada tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala wanita dan lelaki itu tidak diwakili peguam dan 15 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada 9 Jun lalu, dilaporkan seorang pegawai polis ditahan reman bagi membantu siasatan kes seks oral dan rogol melibatkan ibu tunggal itu di sebuah bilik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, pada 5 Jun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1294
Kongsi :
Previous post Jepun tawar vaksin AstraZeneca buat Malaysia
Next post Malaysia hidupkan peluang ke Piala Asia 2023, tewaskan Thailand 1-0
Ubah saiz-+=