Jangan hilangkan nilai-nilai masyarakat di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 22 Ogos – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan teknologi hingga membelakangkan nilai-nilai murni yang sinonim dengan masyarakat majmuk di negara ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, nilai murni masyarakat terutamanya di kampung-kampung perlu dipupuk dalam memastikan perpaduan antara kaum sentiasa kukuh.

Justeru, beliau berharap pemimpin setempat dapat memainkan peranan serta mengambil tanggungjawab demi memastikan kebersamaan masyarakat dapat dipertahankan.

“Apabila nilai murni hilang, sudah tentu ia menjadi satu kesukaran untuk menyatupadukan masyarakat kita yang berbilang kaum sama ada di negeri ini mahupun dalam negara.

“Nilai masyarakat ini membawa kebersamaan, sebab itu tugas pemimpin hari ini adalah memupuk dan mengenal pasti nilai-nilai murni ini yang semakin pudar.

“Jadi saya sarankan pemimpin peringkat atasan sehingga kampung lebih kerap menganjurkan program kemasyarakatan, ambil tanggungjawab bersama untuk pastikan kita tidak hilangkan nilai masyarakat yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mini Karnival Program Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Luar Bandar Tahun 2023 di Mini Stadium Bistari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka, Rozkhaidi Othman.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sentiasa berusaha mengutamakan nilai-nilai masyarakat dalam komuniti setempat di negeri ini.

Oleh itu, katanya, program-program bersama orang kampung perlu diperbanyakkan dalam mengembalikan semula identiti dan keharmonian rakyat Negeri Melaka.

Terdahulu, pada program itu, turut diadakan penyampaian hadiah Pertandingan Kampung Contoh Tahun 2023 kepada pemenang iaitu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Tanjung, Alor Gajah (johan), JPKK Kampung Chin Chin Hulu, Jasin (tempat kedua) dan JPKK Kampung Bukit Palah, Melaka Tengah (tempat ketiga).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1512
Kongsi :
Previous post Zon Bebas Kenderaan: Melaka ambil maklum aduan, pandangan di laman rasmi
Next post Ribuan pelancong bergambar di Bangunan Merah tanpa kenderaan
Ubah saiz-+=