Zon Bebas Kenderaan: Melaka ambil maklum aduan, pandangan di laman rasmi

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI UDANG 22 Ogos – Orang ramai boleh memberikan maklum balas atau aduan berkaitan pelaksanaan minggu pertama zon bebas kenderaan dilaksanakan 19 Ogos lalu menerusi laman media sosial rasmi Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata aduan serta maklum balas mengenai hal terbabit juga boleh disalurkan ke laman Facebook rasminya atau Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Rais berkata, pihaknya mengambil kira setiap cadangan, maklum balas atau aduan mengenai isu terbabit, namun disarankan untuk menggunakan bahasa yang elok dan sopan.

“Selepas pelaksanaan pada minggu lalu kita menerima pelbagai maklum balas daripada semua pihak termasuk peniaga dan orang ramai. Kita anggap maklum balas yang diberi adalah ruang untuk pihak kerajaan tambah baik kekurangan.

“Kita akan lakukan penambahbaikan mengenai apa sahaja yang diadukan oleh masyarakat. Aduan ini boleh disalurkan terus ke laman rasmi Kerajaan Negeri, Ketua Menteri, MBMB dan saya sendiri namun gunakanlah bahasa yang elok, kita ambil maklum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Penjara Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Mengulas lanjut, Rais berkata pelaksanaan zon bebas kenderaan itu antara inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha memulihara bangunan bersejarah.

“Tujuan pelaksanaan zon bebas kenderaan adalah untuk menjadikan negeri ini bandar rendah karbon dan menjaga bangunan bersejarah dalam kawasan terbabit.

“Data merekodkan, setiap minggu, 20,000 hingga 25,000 kenderaan menggunakan laluan tersebut dan kita ambil tanggungjawab untuk menjaga bangunan bersejarah yang disayangi semua warga Melaka yang terdapat di Banda Hilir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2148
Kongsi :
Previous post Minimakan peratusan bekas banduan kembali ke penjara
Next post Jangan hilangkan nilai-nilai masyarakat di Melaka
Ubah saiz-+=