Ribuan pelancong bergambar di Bangunan Merah tanpa kenderaan

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

BANDA HILIR 22 Ogos – Pelaksanaan fasa percubaan ‘car free zone’ atau zon bebas kenderaan di Banda Hilir, Sabtu lalu, membuka peluang kepada lebih 4,000 pelancong dan pengunjung bergambar di sekitar Bangunan Merah dalam suasana malam tanpa kesesakan trafik.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, jumlah itu dicatat pada jam 9 malam, 19 Ogos lalu, menerusi Crowd Monitoring System yang dipasang di kawasan warisan itu.

Katanya, walaupun baru pertama kali dilaksanakan, rata-rata pelancong memberikan maklum balas positif terhadap inisiatif berkenaan yang mana hampir 50 peratus responden menyokong agar inisiatif tersebut diteruskan.

“Ramai yang menyokong kerana mereka dapat bergambar dan meninggalkan kenangan indah di kawasan warisan seperti ini. Ini kerana kebanyakan kawasan warisan di seluruh negara juga adalah tempat untuk merakam memori indah.

“Secara tidak langsung apabila mereka bergambar di lokasi berkenaan, mereka bukan sahaja dapat mengabadikan kenangan, bahkan ia juga memberikan promosi percuma untuk Negeri Melaka.

“Jadi respon yang kita terima memang cukup positif dan tiada setakat ini tiada aduan atau bantahan kita terima daripada inisiatif berkenaan yang diadakan dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dan sesi dialog bersama peniaga di Jalan Temenggong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir Leng Chau Yen.

Jelas Shadan, pertemuan dan sesi dialog itu bertujuan mendapatkan maklum balas peniaga dan penduduk di kawasan berkenaan mengenai inisiatif zon bebas kenderaan.

Katanya, walaupun menerima respon positif daripada pelancong dan pengunjung, namun pandangan peniaga juga perlu diambil kira dalam mewujudkan situasi menang-menang.

“Alhamdulillah, forum yang kita lakukan ini mendapat reaksi positif daripada peniaga yang mana mereka bersetuju untuk zon bebas kenderaan diadakan pada setiap Sabtu dan menjadikan lokasi ini sebagai laluan alternatif.

“Cuma mereka ada menyuarakan kebimbangan jika inisiatif ini dilakukan pada hari biasa dan kita telah memberi penerangan sewajarnya bahawa ia hanya dilaksanakan pada setiap Sabtu sahaja dan mereka menyambut baik.

“Apapun, segala pandangan mereka kita ambil maklum dan akan membawakan segala perkara berbangkit dalam mesyuarat jawatankuasa lalu lintas nanti,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu kebersihan, longkang tersumbat dan banjir kilat di kawasan itu, Shadan berkata, MBMB akan mengadakan gotong-royong besar-besaran di kawasan berkenaan pada 2 September ini.

Katanya, gotong-royong tersebut akan turut melibatkan agensi-agensi Kerajaan Negeri, selain penduduk dan peniaga di kawasan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7652
Kongsi :
Previous post Jangan hilangkan nilai-nilai masyarakat di Melaka
Next post Pecah tanah pasar tani kekal Sungai Rambai bulan depan
Ubah saiz-+=