Jangan ragu suntik vaksin – Mufti

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SEMABOK 26 Feb. – Umat Islam di negeri ini dinasihatkan tidak ragu terhadap penggunaan suntikan vaksin COVID-19 bagi membendung penularan wabak itu di negara ini.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang berlangsung atas talian pada 17 dan 18 Februari lalu telah memutuskan hukum menerima suntikan bagi membendung wabak terbabit adalah harus di sisi agama Islam.

Bagaimanapun katanya, perkara itu boleh disifatkan wajib bagi umat Islam yang berisiko tinggi ke atas jangkitan termasuk golongan barisan hadapan yang ditugaskan dan banyak berinteraksi dengan masyarakat.

“Ini adalah ikhtiar yang terbaik dan hasil kajian dimaklumkan 95 peratus keberkesanannya. Kalau ada kemudaratan, ia harus dihilangkan kerana dalam konteks Islam kita mencari yang baik sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: “Dan jangan kamu campakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam jurang kebinasaan”.

“Oleh itu, satu-satunya cara terbaik untuk menghilangkan wabak ini adalah dengan pengambilan vaksin,” katanya ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Surau Al-Hidayah, Taman Pertam Jaya, Padang Temu, semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun golongan kurang daya ketahanan imun, individu bawah 18 tahun, wanita mengandung atau menyusukan anak tidak disyorkan untuk mengambil vaksin berkenaan.

Abdul Halim turut menasihati rakyat negeri ini agar tidak mudah terpengaruh dengan golongan anti-vaksin yang sengaja menimbulkan kekeliruan, sedangkan ia jelas bertentangan dengan konteks agama Islam.

“Biarpun tiada paksaan dalam pengambilan vaksin tersebut buat orang awam, namun ini merupakan inisiatif terbaik bagi menghentikan wabak tersebut daripada terus menjangkiti lebih ramai orang.

“Dengan inisiatif ini kita harap rakyat Melaka mengambil peluang menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 2 Mac ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

457
Kongsi :
Previous post Bantu kerajaan jayakan program imunisasi COVID-19
Next post Pegawai polis antara empat direman bantu siasatan kes rasuah
Ubah saiz-+=