Jangan sedih atau putus asa, teruskan sambutan Tahun Baharu Cina secara sederhana- Sulaiman

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 11 Feb. – Masyarakat Tionghua di negeri ini diminta tidak bersedih atau berputus asa sebaliknya terus menyambut perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) secara sederhana dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, TBC adalah perayaan yang paling penting dalam masyarakat Cina, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Katanya, perayaan tradisional masyarakat Cina itu sebagai tanda permulaan serta pembaharuan dalam kehidupan dan disambut dengan meriah setiap tahun.

SULAIMAN (empat dari kanan) mencuba tradisi menggaul Yee Sang ketika hadir ke program Facebook Live Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka sempena sambutan Tahun Baru Cina 2021 di perkarangan Persatuan Chin San Hou Wang, di Taman Pokok Mangga.

“Sungguhpun begitu, sejak berlakunya pandemik COVID-19, kita semua terpaksa berdepan dengan kehidupan yang sangat mencabar.

“Semua majlis-majlis perayaan tidak lagi dapat disambut secara besar-besaran. Rakyat perlu menjalani kehidupan norma baharu di samping mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu rakyat bersedih mahupun putus asa. Teruskanlah menyambut perayaan tradisi ini secara bersederhana dengan mematuhi SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Facebook Live Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka sempena sambutan Tahun Baru Cina 2021 di perkarangan Persatuan Chin San Hou Wang, di Taman Pokok Mangga di sini, semalam.

SULAIMAN  (tiga dari kiri)  mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di Malaysia ketika hadir di program Facebook Live Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka sempena sambutan Tahun Baru Cina 2021 di perkarangan Persatuan Chin San Hou Wang, di Taman Pokok Mangga.

Sulaiman berkata, walaupun TBC kali ini tanpa tradisi ziarah, masyarakat boleh memanfaatkan kecanggihan teknologi untuk berhubung dalam mengeratkan hubungan antara ahli keluarga mahupun rakan yang tinggal berjauhan.

“Saya nak berpesan walaupun tidak boleh kunjung mengunjungi, gunakanlah platform teknologi untuk meneruskan rantaian perhubungan keluarga dan persahabatan kita semua,” katanya mengucapkan selamat menyambut TBC kepada seluruh masyarakat Tionghua di Malaysia khususnya di Melaka yang menyambut perayaan itu.

Sementara itu, Sulaiman juga berharap tahun ‘Lembu’ akan menjadi pemangkin untuk rakyat berganding bahu memerangi pandemik itu serta membawa kesejahteraan kepada negara dan negeri.

“Semoga Tahun Baru Cina berzodiak ‘Lembu’ yang melambangkan sifat rajin, bertanggungjawab, sabar dan penyayang ini, akan menjadi pemangkin ketabahan untuk kita sama-sama memerangi wabak ini di samping membawa keberkatan, kebahagiaan, kesihatan yang baik dan kesejahteraan kepada negara, negeri dan rakyat Melaka, serta mencetus iltizam dan kekuatan untuk kita mencipta lebih banyak kejayaan di masa hadapan.

“Saya yakin dengan usahasama semua rakyat Melaka ke arah kebangkitan semula pembangunan ekonomi Melaka, 2021 semestinya satu tahun ‘ONG’ untuk semua!,” katanya.

Views:

841
Kongsi :
Previous post PdPR: 19 peniaga peranti elektronik dikesan naikkan harga barang
Next post 3 pemain import baharu perkasa MUFC
Ubah saiz-+=