3 pemain import baharu perkasa MUFC

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) bakal diperkuatkan dengan tiga pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Super 2021 yang bakal membuka tirainya pada 5 Mac depan.

Pemain baharu yang ditandatangani skuad Hang Tuah ialah Alex dos Santos Gonçalves dari Brazil serta pemain berdarah Jerman-Filipina, Manuel Gelito Ott.

Alex dos Santos, 30, yang bakal menggalas tugas selaku peledak sebelum ini pernah beraksi bersama kelab di sekitar Brazil, Romania, Turki dan Indonesia. Kelab terakhirnya ialah Persikabo 1973 yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia musim lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Manakala Ott, 28, yang beraksi di posisi tengah merupakan pemain kebangsaan Filipina sejak 2010 bakal mengisi kuota pemain import Asia Tenggara (ASEAN) dan pernah beraksi bersama kelab Thai League 1, Ratchaburi Mitr Phol.

Selain itu, seorang lagi penyerang import baharu ialah Stefan Nikolić, pemain kelahiran Montenegro yang kini sedang menjalani tempoh kuarantin di ibu negara.

Kesemua pemain itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) pada majlis menandatangani kontrak pemain di pejabatnya, di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Selain pemain baharu, turut diumumkan lanjutan kontrak dua pemain import lama iaitu Sony Norde dan Jang Suk-Won yang akan bermain di posisi sayap dan pertahanan.

Sulaiman pada sidang media selepas itu berkata, beliau yakin kehadiran tonggak import baharu dan muka lama yang dikekalkan dapat memantapkan skuad bola sepak Melaka sepanjang musim ini.

“Saya yakin kesemua pemain yang dibawa masuk dan dikekalkan merupakan pilihan yang tepat setelah dikaji dalam pelbagai sudut oleh pihak pengurusan.

“Jadi, bagi memastikan kelancaran pasukan dengan kehadiran beberapa pemain baharu, kita akan mengadakan siri perlawanan persahabatan yang telah diatur dengan beberapa pasukan.

“Insya-Allah, daripada perlawanan persahabatan itu kita akan dapat melihat apakah kelebihan yang dimiliki pemain baharu dan bagaimana untuk menyatukan semua kemahiran itu bagi membentuk skuad terbaik musim ini,” katanya.

Views:

471
Kongsi :
Previous post Jangan sedih atau putus asa, teruskan sambutan Tahun Baharu Cina secara sederhana- Sulaiman
Next post ‘Kami bukan orang jahat’
Ubah saiz-+=