PdPR: 19 peniaga peranti elektronik dikesan naikkan harga barang

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 11 Feb. – Sebanyak 19 pemilik premis peralatan elektronik dan komunikasi (ICT) di negeri ini dikesan menaikkan harga peranti berkenaan susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar berkata, kesemua premis telah disiasat dan diberikan notis untuk mengemukakan dokumen mengenai harga jualan barangan tersebut.

“Kita ambil maklum aduan orang awam selain hasil pemantauan penguatkuasa di premis-premis dalam daerah Melaka Tengah.

“Hasil pemeriksaan, KPDNHEP Melaka telah mengeluarkan notis terhadap premis atas kesalahan menaikkan harga peranti elektronik seperti komputer riba.

“Mereka turut diminta untuk mengemukakan statistik harga semasa barangan dijual dan harga sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi membuat perbandingan peningkatan kadar jualan barangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di Pasaraya Tesco Bandaraya Melaka, hari ini.

Norena berkata, pihaknya giat membuat pemantauan penjualan dalam talian bagi mengesan penipuan membabitkan pembelian keperluan pembelajaran selepas kerajaan melaksanakan PdPR.

“Pemeriksaan berkaitan kenaikan harga alat elektronik dan komputer dilakukan mengikut Op Catut 8.0 (Kelengkapan Elektronik-Komunikasi),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan tiga kompaun terhadap tiga premis pakaian yang berdegil membuka perniagaan bermula 13 Januari sehingga semalam.

“Kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dengan kadar denda sebanyak RM1,000,” katanya.

Views:

269
Kongsi :
Previous post Orang Asli maut disyaki dipijak gajah liar di Mersing
Next post Jangan sedih atau putus asa, teruskan sambutan Tahun Baharu Cina secara sederhana- Sulaiman
Ubah saiz-+=