Orang Asli maut disyaki dipijak gajah liar di Mersing

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

JOHOR BAHRU 11 Feb. – Seorang lelaki Orang Asli maut disyaki dipijak seekor gajah liar di Hutan Simpan Sungai Teresap, Endau, dekat Mersing, semalam ketika keluar memancing ikan di kawasan itu.

Pengarah Perhilitan Johor Salman Saaban berkata pihaknya menerima laporan mengenai serangan gajah liar ke atas Din Janja, 61, yang tinggal di Kampung Orang Asli Labong, Endau, pada 12.15 tengah hari.

Beliau berkata sejurus mendapat laporan, lima kakitangan Perhilitan telah ke Klinik Kesihatan Endau dan disahkan mangsa mati disyaki dipijak gajah.

“Anak mangsa, Endra Din, 18, memaklumkan dia dan bapanya telah masuk ke Hutan Simpan Teresap pada kira-kira 8.30 pagi untuk memancing ikan. Dalam perjalanan, mereka terserempak dengan seekor gajah yang secara tiba-tiba menyerang mereka.

“Endra sempat melarikan diri tetapi bapanya telah diserang gajah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Salman berkata anak mangsa mendapatkan bantuan penduduk kampung pada kira-kira 10 pagi dan mangsa telah dibawa keluar dari hutan pada 12 tengah hari, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik.

Beliau bagaimanapun berkata bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

“Tinjauan kakitangan Perhilitan Mersing di lokasi kejadian bersama wakil Orang Asli mengesahkan terdapat kesan tapak kaki disyaki seekor gajah jantan, kesan tempat tidur gajah dan kesan pokok tumbang baharu disyaki dilakukan gajah tersebut.

“Gajah berkenaan dipercayai dari Taman Negara Endau Rompin dan merupakan gajah tunggal yang berpecah dari kumpulannya. Lokasi kejadian memang kawasan gajah-gajah liar merayau dan berkeliaran,” kata beliau.

Justeru katanya, pihak jabatan menasihati orang ramai yang berhasrat keluar memancing ke dalam hutan untuk lebih berhati-hati dan memastikan kawasan tersebut selamat untuk dimasuki.

Views:

1190
Kongsi :
Previous post Warga asing menetap di Malaysia turut diberi vaksin percuma
Next post PdPR: 19 peniaga peranti elektronik dikesan naikkan harga barang
Ubah saiz-+=