Sorting by

×

JAWATANKUASA MASJID, SURAU DI MELAKA PERLU SENTIASA TELUS

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Ogos – Jawatankuasa masjid, surau dan institusi keagamaan di negeri ini diingatkan agar sentiasa menguruskan hal pentadbiran dan kewangan dengan telus.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata sebarang keputusan melibatkan pengurusan kewangan atau pembangunan, termasuk berkaitan tanah wakaf, perlu diputuskan melalui mesyuarat jawatankuasa atau dirujuk kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Masyarakat sentiasa memerhati bagaimana kita menguruskan kariah sama ada dari segi pentadbiran atau kewangan.

“Jangan ambil mudah kerana kesilapan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta menimbulkan cemuhan terhadap institusi masjid, surau atau tanah perkuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Amil dan Penyerahan Kod QR Saham Wakaf MAIM Tahun 2025 di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM turut memberi peringatan tegas bahawa pihaknya tidak akan berkompromi jika wujud isu penyelewengan wang awam.

“Jika berlaku, tindakan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diambil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

646
Kongsi :
Previous post MELAKA TEROKA MODEL BAHARU AGROPELANCONGAN DI NEW ZEALAND
Next post PENGGIAT PELANCONGAN MELAKA SAMBUT BAIK FOKUS RMK13 TERHADAP ‘STIZ’