Jelajah Usahawan Melaka diteruskan, fokus golongan belia

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SERI NEGERI 7 Mac – Jelajah Usahawan Melaka yang bermula tahun lalu akan diteruskan lagi pada tahun ini bagi memperkasa keusahawanan di negeri ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, sama seperti edisi pertama, jelajah tersebut akan diadakan di empat Parlimen dan dijangka bermula selepas Aidilfitri.

Meskipun sambutan pada tahun lalu kurang memberangsangkan, namun beliau optimis jelajah kali ini akan mendapat sambutan cukup baik, memandangkan fokus turut diberikan kepada usahawan belia.

“Tahun ini kita akan membawakan lebih 10 agensi berkaitan antaranya, SME Corp, SME Bank, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang memfokuskan sijil halal, SIRIM, MARA, Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN, SSM, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), selain Touch n’Go untuk membantu usahawan mendapatan kod QR bagi perniagaan mereka.

“Justeru, kita berharap semua wakil rakyat kawasan dapat mempromosikan mengenai jelajah usahawan ini supaya kita dapat memberi pelbagai manfaat kepada usahawan di Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) anjuran SME Corp Malaysia, Allex memaklumkan, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada 278 orang usahawan belia di Negeri Melaka sejak tahun 2014 hingga tahun lalu.

Jelas beliau, menerusi TUBE, peserta yang menamatkan latihan telah diberikan Geran Permulaan Perniagaan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Tambah Allex, sepanjang 2024, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa program keusahawanan belia menerusi pelbagai inisiatif, antaranya seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka yang lalu, iaitu peruntukan sebanyak RM500,000 melalui Program Belia Progresif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

321
Kongsi :
Previous post Melaka tidak rancang teruskan jalan ‘glow in the dark’
Next post TMM2024 mendahului tiga negeri lain
Ubah saiz-+=