TMM2024 mendahului tiga negeri lain

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

SERI NEGERI 7 Mac – Walaupun baru memasuki bulan ketiga, namun sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) kini dilihat berjaya mendahului tiga negeri lain yang turut menyambut tahun melawat negeri. 

Menurut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, perkara itu dapat dilihat apabila Melaka menerima pengiktirafan Kerajaan Persekutuan termasuk program yang diadakan pada 20 Februari lalu yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Jelas Ab Rauf, Perdana Menteri telah melihat perkembangan positif pelancongan Melaka menerusi sambutan TMM2024 dan telah mengumumkan peruntukan RM25 juta bagi mengembangkan lagi sektor pelancongan negeri ini. 

Perkembangan baik itu, sekali gus menepis dakwaan Ketua Pembangkang Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) yang membangkitkan kononnya TMM2024 kurang promosi di peringkat akar umbi. 

Justeru, Ketua Menteri menjemput Dr. Mohd Yadzil untuk datang dan merasai sendiri kemeriahan program-program yang dianjurkan sepanjang TMM2024. 

“Saya menghargai ketua pembangkang turun ke lapangan untuk membantu Kerajaan Negeri, tapi jangan pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam. Memang tiada orang. 

“Kalau mahu turun ke lapangan, datanglah ke program-program TMM2024 kerana jemputan telah kira berikan. Lihat sendiri bagaimana kita mempromosikan TMM2024 ini dengan begitu indah dan menarik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penggulungan Usul Terima Kasih Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, selain sambutan meriah dalam kalangan pengunjung dan pelancong, sambutan TMM2024 turut mendapat sokongan pelbagai pemain industri. 

Ia dapat dilihat apabila Kerajaan Negeri menerima sumbangan berjumlah lebih RM1.3 juta untuk diberikan kepada pengunjung dan pelancong bertuah sepanjang TMM2024 menerusi kempen bercuti dan menang. 

Ketua Menteri berkata, sokongan padu yang diberikan itu sekali gus menunjukkan Kerajaan Negeri di bawah panji Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang diyakini oleh semua pihak sehingga sanggup menyumbangkan hadiah berupa lapan buah kereta dan 23 motosikal. 

“Semua hadiah yang dikeluarkan, kita (Kerajaan Negeri) tidak keluarkan satu sen pun. Nilai semuanya melebihi RM1.3 juta dan ia tidak menggunakan bajet kerajaan. 

“Ini semua merupakan tanda sokongan pemain industri yang memberi sokongan penuh kepada kerajaan masa ini. 

“Saya tidak kata ini kerajaan terbaik, tetapi di waktu dan ketika saya menerajui Melaka, tawaran daripada pihak industri ini terlalu banyak dan tidak mampu untuk saya tolak,” kata beliau.

Terdahulu usul terima kasih itu telah dibahaskan oleh 17 Ahli Dewan Undangan Negeri dan pada sesi undian ia telah menerima sokongan 27 ahli dewan dan seorang tidak hadir. 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post Jelajah Usahawan Melaka diteruskan, fokus golongan belia
Next post Dewan Belia Negeri Melaka bersidang Jun depan
Ubah saiz-+=