lmt dikebumikan

Jenazah Mohamad Affendi selamat dikebumikan

ROMPIN 17 Nov – Jenazah juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang maut dalam nahas pesawat Hawk 108 semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah di sini malam ini.

Jenazah Allahyarham Mohamad Affendi, 31, tiba di tanah perkuburan pada pukul 7.40 malam dan urusan pengebumian dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan itu, selesai kira-kira sejam kemudian.

Terdahulu jenazah Allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Pangkalan Udara Kuantan, sebelum dibawa ke kediaman keluarganya di Taman Redan Perdana di sini menggunakan laluan darat dan tiba sekitar 6.30 petang.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Besar Muadzam Shah, di sini yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kediaman keluarganya untuk disembahyangkan.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara Left Jen Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Hujan renyai bermula sebaik sahaja jenazah Allahyarham yang diiringi konvoi TUDM dan pasukan keselamatan memasuki tanah perkuburan, sebelum berhenti sebaik sahaja kubur selesai dikambus.

Selesai bacaan talkin, Mohd Asghar Khan menyerahkan bendera TUDM  kepada isteri Allahyarham Nurul ‘Izzati Shari, 31, disusuli istiadat menyiram air mawar dan tabik hormat penghormatan terakhir.

Mohamad Affendi meninggal dunia dalam kejadian pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas pada 10.07 malam Selasa (16 Nov), semasa sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan pangkalan udara Butterworth.

Kejadian turut menyebabkan seorang lagi juruterbang Mejar Mohd Fareez Omar, 33, cedera namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.– BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

96
leman pc Previous post Ketengah calon baharu seiring meremajakan parti dan diterima rakyat – Sulaiman
sulaiman md ali4 Next post BN perintah, pelaburan di Melaka meningkat