Ketengah calon baharu seiring meremajakan parti dan diterima rakyat – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 17 Nov. – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yakin kaedah meremajakan parti dengan mengetengahkan calon baharu mampu meraih hati pengundi.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Lendu berkata, dengan pengalaman dan gerak kerja yang ada dalam kalangan calon baharu ini akan diterima rakyat sekali gus kerjasama antara mereka dan calon muka lama mampu diwarisi pada generasi akan datang.

Katanya, melihat kepada tiga Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu, graf sokongan terhadap parti itu mula menunjukkan penurunan namun dengan pendekatan baharu ditampilkan membantu bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

“Sudah pasti saya yakin rakyat di luar sana mahupun kalangan ahli parti ingin melihat muka baharu ini, (pendekatan ini) secara tidak langsung boleh meremajakan parti supaya keremajaan ini dapat diwarisi oleh barisan kepimpinan akan datang.

“Mereka ini datang daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan pendidikan dan saya yakin ini kaedah terbaik dalam konteks meremajakan UMNO dan BN.

“Pada tiga pilihan raya terdahulu, grafnya akan menurun tetapi saya yakin dengan barisan calon muka baharu ditampilkan, saya yakin barisan yang ditampikkan, ini produk kita, saya yakin mereka diterima oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Diskusi Perdana BN yang turut dihadiri Pengarah PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata sebagai calon muka lama yang bertanding, beliau turut menasihatkan calon muka bahaaru supaya berjuang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Seperti mana diumumkan dalam Manifesto BN, Kestabilan Demi Kemakmuran, dalam tempoh lima tahun sekiranya BN diberikan mandat, kestabilan dengan muka baharu itu dapat dicapai.

“Dengan gerak kerja serta pengalaman dalam kalangan mereka ini, saya yakin rakyat menilai hanya BN boleh menstabilkan negeri dan negara ini,

“Saya yakin rakyat di luar menilai barisan ini mampu menjana Melaka ke arah lebih maju pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

635
Kongsi :
Previous post Ramai nama besar keluar UMNO dan BN mati ‘tergantung’
Next post Jenazah Mohamad Affendi selamat dikebumikan
Ubah saiz-+=