Jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Gombak

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Jenazah Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini, memetik laporan portal Harian Metro sebentar tadi.

Suami Allahyarhamah, Shuib berkata, dia bersyukur apabila Allahyarhamah isterinya diberi peluang untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan ibunya.

“Pada awalnya saya tak pasti sama ada urusan pengebumian dapat dibuat di lokasi sama arwah ibunya. Namun, sebaik tiba di sini saya bersyukur pihak hospital membenarkan jenazah isteri dikebumikan di sana. Entah kenapa saya terasa lokasi itu adalah tempat terbaik untuk arwah isteri saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), di sini, hari ini.

Menurut Shuib, urusan tayamum dan solat jenazah akan diuruskan pihak hospital.

Sementara itu, Shuib berjanji akan menjaga empat cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dengan sebaik mungkin.

“Arwah sempat hadiahkan saya dan anak menerusi kehadiran Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Tiga lagi anak mereka ialah Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6.

Terdahulu, Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) pada jam 5.13 pagi, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

723
Kongsi :
Previous post Dr Noor Hisham ucap takziah atas pemergian penyanyi Siti Sarah
Next post Lebih 24.5 juta dos vaksin COVID-19 diberikan setakat semalam – DR Adham
Ubah saiz-+=