Dr Noor Hisham ucap takziah atas pemergian penyanyi Siti Sarah

0
539
CIAPAN Twitter DR Noor Hisham.

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Selain rakan artis dan jutaan peminat, pemergian penyanyi terkenal, Siti Sarah Raissuddin akibat COVID-19 turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi ciapan di Twitter rasminya beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Siti Sarah, 36, yang meninggal dunia jam 5.13 pagi tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM).

“Takziah kepada keluarga Siti Sarah Raisuddin & kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terkorban oleh COVID-19,” tulisnya.

Hantaran di instagram SENIMAN.

Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga penyanyi terbabit.

Menerusi hantaran di Instagram, persatuan itu turut berharap suami Siti Sarah, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, sentiasa bersabar atas ujian itu.

“…semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman serta ditempatkan di syurga Allah.

“Kepada Shuib semoga tabah menghadapi dugaan Allah, sabar dan terus berdoa kepada Allah. Semoga dipermudahkan urusan buat arwah.

“Seluruh kepimpinan SENIMAN dan barisan exco serta ahli-ahli seniman mengucapkan takziah.

Difahamkan, jenazah Allahyarhamah masih berada di HUKM untuk pengurusan jenazah dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak pada jam 12.30 tengah hari ini.

Difahamkan juga arwah ibunya, Nur Aini Mohamad yang meninggal dunia pada 2013 turut disemadikan di tanah perkuburan sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.