
JEREBU: MELAKA AKTIFKAN SEGERA JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA DAERAH
AYER KEROH 21 Julai – Kerajaan Negeri mengaktifkan segera Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) susulan fenomena jerebu rentas sempadan kesan daripada tiupan angin barat daya yang sedang berlaku kini.
Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Alor Gajah merekodkan bacaan 157 iaitu tidak sihat, setakat jam 2 petang tadi.
Selain itu, kenyataan sama turut memaklumkan bacaan IPU di Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka turut merekodkan bacaan tertinggi setakat jam 2 petang iaitu masing-masing pada kadar 94 dan 86 (sederhana).
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengarahkan agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diaktifkan dengan segera dan mengambil tindakan proaktif mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
“Pemantauan berterusan dilakukan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Melaka bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka dan Pusat Kawalan Bencana Kebangsaan (NDCC) di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” kata kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan sama, Kerajaan Negeri turut menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga, terutamanya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan penghidap penyakit pernafasan agar mengehadkan aktiviti luar.
“Orang awam juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka. Semua pihak perlu terus cakna dan berperanan aktif dalam menjaga kesihatan serta kesejahteraan komuniti,” katanya.
Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai IPU, orang ramai boleh melayari laman web https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau aplikasi mudah alih MyJAS EQMS di Google Play dan App Store.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.