
JIWA SENI ANAK-ANAK DUYONG
DUYONG 24 Julai – Pendedahan terhadap seni budaya warisan seperti dondang sayang sejak di bangku sekolah rendah diyakini mampu menyemai rasa cinta kepada tradisi dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, melalui Bengkel Dondang Sayang yang dibawa khas ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, murid-murid seawal darjah dua berpeluang memahami erti dan aspirasi di sebalik seni tari tradisional tersebut.
“Bayangkan murid-murid dari sekolah pendidikan khas, walaupun tidak boleh mendengar dan bertutur, mereka mampu menari dengan baik. Ini membuktikan bahawa seni tari bukan sekadar hiburan, tetapi satu bentuk penyampaian makna dan aspirasi yang menyentuh jiwa.
“Perkongsian seperti ini penting kerana ia bukan sahaja membantu mereka memahami gerakan tari, tetapi juga menanamkan semangat mempertahankan seni budaya bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Dondang Sayang bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), Drs. Mohd Nasruddin Rahman dan Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz.
Bengkel tersebut melibatkan tiga sekolah rendah dalam DUN Duyong iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong, SK Semabok dan sekolah pendidikan khas dengan penyertaan seramai 120 orang murid.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri turut menekankan bahawa kesinambungan seni warisan perlu dipelihara apabila murid-murid beralih ke alam sekolah menengah.
“Apabila mereka meningkat dewasa seni dan budaya ini akan mula ‘hilang’ dari pendedahan yang diterima mereka di peringkat sekolah rendah.
“Mungkin pihak INSWA boleh mempertimbangkan penganjuran kelas hujung minggu untuk himpunkan semula pelajar-pelajar ini agar bakat dan minat mereka dapat diteruskan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.