Sorting by

×

JIWA SENI EZLINA

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 7 Mei – Tugas di belakang tabir menyebabkan nama Ezlina Elias, kurang dikenali ramai meskipun tanggungjawab dipikul amat berat, terutama setiap kali berlangsungnya acara atau program besar di Negeri Melaka termasuk yang bertaraf dunia.

Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka ini berkata, cabaran paling besar bagi dirinya selama 22 tahun berkhidmat bersama JKKN adalah ‘menghidupkan’ setiap acara yang dipertanggungjawabkan keatas dirinya.

Katanya, meskipun tugasan digalas amat berat, namun jiwa seni sudah sebati dalam diri menyebabkan dia tidak lokek untuk memberikan lebih daripada apa yang diminta termasuk ketika menjayakan penganjuran acara pelancongan melibatkan Tahun Melawat Melaka.

Dalam diam, kesungguhan dan komitmen diberikan Ezlina mendapat perhatian pihak berkenaan apabila dia dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan Dan Profesional) bersempena Sambutan Hari Pekerja 2025.

Katanya, selain didorong jiwa seni kejayaan itu juga adalah hasil sokongan daripada pasukan ‘hebat’ yang sering membantunya dalam melaksanakan setiap tugas diberikan.

“Perjalanan karier saya untuk sampai ke tahap sekarang bukan perjalanan yang mudah memandangkan saya mula berkhidmat di JKKN dengan Gred B 5 meskipun mempunyai ijazah.

“Ketika melaksanakan tugas saya sentiasa fokus dan ikhlas, bagi saya anugerah diberikan adalah pinjaman daripada Allah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelasnya, kepercayaan yang diberikan oleh JKKN dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan mencalonkan namanya sebagai penerima anugerah itu merupakan penghargaan tidak ternilai.

“Justeru saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak ibu pejabat dan MOTAC khususnya, begitu juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta warga JKKN Melaka.

“Sudah pastinya terima kasih juga kepada keluarga tersayang yang selama ini menjadi tulang belakang dan sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Dia tidak menolak penglibatannya secara langsung dalam penganjuran pelbagai program besar oleh Kerajaan Negeri mendorong namanya dicalonkan oleh ibu pejabat dan MOTAC.

“Walaupun ketika bertugas di ibu pejabat dulu saya ada terbabit dalam pelbagai program besar termasuk peringkat antarabangsa namun cabarannya tidak sama dengan tanggungjawab berkhidmat di Melaka ini yang negerinya kaya dengan budaya.

“Meskipun bebanan kerja itu lebih namun saya amat bersyukur kerana dikelilingi pihak yang sentiasa memberi sokongan termasuk daripada Kerajaan Negeri.

“Anugerah ini adalah amanah dan kepercayaan yang diberikan untuk saya terus berkhidmat dengan cemerlang dan memberi sepenuh komitmen apatah lagi sepanjang tahun ini, banyak program berskala besar peringkat antarabangsa akan berlangsung di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1643
Kongsi :
Previous post PANGGUNG BANGSAWAN, PENTAS MAGIS BUAT PENCINTA SENI, BUDAYA
Next post MEREMAJAKAN MENARA TAMING SARI