
WRUR TANJUNG BIDARA: DATANG AWAL BELI AYAM RM5
TANJUNG BIDARA 16 September – Seawal jam 7 pagi orang ramai mula beratur panjang kerana tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan daging ayam segar pada harga RM5 seekor sempena Program Melaka Agro Madani Market di Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Jualan menawarkan pelbagai lagi barangan basah dan keperluan asas seperti telur, daging lembu segar dan hasil laut itu juga adalah bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Pihak penganjur iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka menyediakan sebanyak 4,000 ekor ayam buat pengunjung yang hadir.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dianggarkan lebih 5,000 orang hadir bagi mendapatkan barangan makanan asas ditawarkan pada harga lebih murah berbanding pasaran.
“Sudah pastinya yang paling menjadi tumpuan adalah tawaran daging ayam segar pada harga cuma RM5 seekor selain pelbagai lagi barangan basah lain.
“Bukan ini sahaja, sepanjang WRUR ini kita atur pelbagai lagi pengisian dan aktiviti yang memberikan manfaat kepada rakyat,” kata Ketua Menteri.
Program itu turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Pengarah FAMA Negeri Melaka Ts. Nor Azhar Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib.
Selain jualan turut berlangsung Kursus Penanaman Durian dan Sambutan Hari Malaysia, agihan anak pokok kepala, jagung manis, benih sayur-sayuran serta pertandingan mewarna kanak-kanak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

