
‘KALAU DAH TANDA TANGAN, HARI INILAH SAYA ISYTIHAR’ – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 16 September – “Kalau dah tanda tangan, hari inilah saya isytihar,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika menafikan dakwaan bahawa beliau sudah menandatangani dokumen berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Ab Rauf berkata, sekiranya dokumen pembubaran itu sudah ditandatangani, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat pada hari yang sama.
“Eh, tak ada apa memang tiada tanda tangan apa-apa dokumen pembubaran. Kalau dah tanda tangan, hari inilah saya isytihar. Tapi memang tiada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Persimpangan Tiga Kepada Bulatan di Jalan Padang Kamunting sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, pertemuannya bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam semalam adalah perjumpaan biasa dan tidak membabitkan sebarang keputusan muktamad mengenai pembubaran DUN.
Jelasnya, pertemuan itu juga merupakan pertemuan pertama bersama Tun Dr. Mohd Ali pada bulan ini.
Ketika debaran mengenai pembubaran DUN Melaka semakin kuat, Ab Rauf masih berteka-teki dan memberi bayangan permulaan bagi proses demokrasi itu akan berlaku selepas salah satu hari Jumaat, namun tidak mendedahkan tarikh tepat.
“Ia akan berlaku pada satu Jumaat lagi,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada Jumaat terakhir bulan ini sebagai tarikh pembubaran DUN, beliau hanya menjawab secara berseloroh.
“Entah, ada satu lagi lah. Tak tahu bila. Chase me if you can,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


