PIDATO RUKUN NEGARA BAKAL PERKENAL KATEGORI UNTUK OKU

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 15 September – Kementerian Perpaduan Negara menyambut baik cadangan mewujudkan kategori orang kurang upaya (OKU) bagi memeriahkan lagi penganjuran Pertandingan Pidato Rukun Negara pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran berkata, pihaknya menyambut baik cadangan itu kerana dilihat akan membuka ruang penyertaan yang lebih ramai dan inklusif.

Sehubungan itu katanya, kementerian akan meneliti mekanisme sesuai bagi membolehkan OKU untuk bersama-sama menyertai pertandingan pada penganjuran akan datang, sekali gus menonjolkan bakat dan menterjemahkan penghayatan terhadap Rukun Negara mengikut cara mereka.

“Kita akan melihat mekanisme bersesuaian, membuka ruang buat OKU untuk turut sama dan sudah tentu kementerian akan berbincang dengan pihak berkepentingan berhubung perkara ini, mungkin kita boleh pecahkan kepada lebih banyak kategori.

“Menjadi hasrat kementerian untuk membuka ruang dan peluang kepada semua meluahkan rasa cinta mereka terhadap negara kita,” katanya pada sidang media selepas Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Pertandingan kali ini melibatkan lima kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Bukan Melayu dan Awam.

Menurutnya, penganjuran pertandingan berkenaan wajar diteruskan susulan sambutan menggalakkan yang merekodkan lebih 10,000 peserta khususnya dalam kalangan generasi muda.

Katanya, penghayatan terhadap Rukun Negara bukan sekadar ketika bacaan ikrar di sekolah atau majlis tertentu sahaja, sebaliknya perlu dijadikan sebagai prinsip hidup dan panduan dalam kehidupan seharian.

“Penglibatan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, IPT, bukan Melayu dan orang awam menunjukkan semangat itu memang ada dan rakyat mahu memahami Rukun Negara dengan lebih mendalam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

575
Kongsi :
Previous post PENCAK SILAT TIDAK DIANAKTIRIKAN, KERAJAAN NEGERI SALUR RM174,734 SEPANJANG 2026