PENCAK SILAT TIDAK DIANAKTIRIKAN, KERAJAAN NEGERI SALUR RM174,734 SEPANJANG 2026

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 15 September – Sebanyak RM174,734 disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi memperkukuhkan lagi pembangunan sukan pencak silat sepanjang 2026.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, peruntukan adalah menerusi Kerajaan Negeri sendiri, jabatan serta agensi angkat ketika Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang lalu.

Shanmugam berkata, inisiatif itu secara tidak langsung menterjemahkan komitmen Kerajaan Negeri yang mahu melihat sukan pencak silat terus berkembang selain menyokong usaha pembangunan bagi melahirkan atlet cemerlang.

“Pencak silat dan sepak takraw adalah dua sukan diberi perhatian dan keutamaan menerusi Program Pembangunan Khas Negeri Melaka. Inisitif ini memberikan fokus kepada aspek latihan, kejohanan dan fasiliti latihan.

“Bagi mempersiapkan Kontinjen SUKMA Negeri Melaka Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.7 juta sebagai bajet khas kepada persatuan dan atlet. Daripada jumlah itu, pencak silat menerima RM109,500 bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, peruntukan berkenaan meliputi elaun seorang ketua jurulatih sepenuh masa dan empat jurulatih separuh masa yang dipersetujui Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Melaka.

“Elaun atlet, latihan, penyertaan dan penganjuran kejohanan serta peralatan latihan juga ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Bagi menghadapi SUKMA Selangor 2026, sebanyak RM21,734 turut disediakan untuk kos pengurusan dan logistik membabitkan penginapan, makanan, pengangkutan atlet serta pegawai.

“Sementara itu agensi dan jabatan angkat iaitu Kumpulan Melaka Berhad menyalurkan RM10,000 manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka pula menyumbangkan RM3,000,” katanya.

Menurutnya lagi skuad pencak silat Melaka turut menerima RM30,500 insentif kemenangan meraih empat pingat emas, tiga perak dan satu gangsa pada temasya berkenaan, sekali gus menjadi penyumbang pingat tertinggi untuk kontinjen Melaka.

Mengulas isu kehadirannya sebagai Ketua Kontinjen atau Chief de Mission (CDM) di venue pertandingan, Shanmugam berkata tanggungjawab CDM adalah memantau keseluruhan kontinjen Melaka yang membabitkan 36 jenis sukan.

“Sokongan terhadap sukan pencak silat bukan sekadar berdasarkan kehadiran pegawai di venue, sebaliknya turut meliputi peruntukan pembangunan, latihan, kebajikan atlet, penyertaan pertandingan dan penghargaan terhadap pencapaian atlet.

“Majis Sukan Negeri (MSN) Melaka kekal untuk terus bekerjasama dengan PESAKA Melaka dalam memperkukuh pembangunan sukan pencak silat serta memastikan sukan ini terus cemerlang di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post HALA TUJU PEMBANGUNAN HARTA TANAH MELAKA MESTI UTAMAKAN KEMAMPUAN RAKYAT – AB RAUF
Next post PIDATO RUKUN NEGARA BAKAL PERKENAL KATEGORI UNTUK OKU