Sorting by

×

JKAS PACU SINERGI SEKTOR AWAM DAN SWASTA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDARAYA MELAKA 18 Julai – Penjenamaan semula Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (JKAS) yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Penswastaan Negeri amat penting dalam memacu sinergi antara sektor awam dan swasta, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, transformasi JKAS juga penting demi menjayakan agenda ekonomi negeri yang lestari serta inklusif.

Katanya, JKAS diselaras oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) melalui Seksyen Kerjasama Awam Swasta Negeri, berperanan sebagai sebuah entiti pemudah cara utama yang menyelaras, menilai dengan lebih sistematik dan meluluskan cadangan kerjasama awam swasta, bermula proses semakan awal, penilaian menyeluruh sehingga pemantauan pasca pelaksanaan.

“Seiring dengan penubuhannya, Buku Garis Panduan JKAS turut dilancarkan dan ditambah baik agar lebih mesra pelabur, ‘outcome-driven’, responsif terhadap keperluan semasa dan selari dengan dasar pembangunan negeri, dasar persekutuan serta prinsip ESG (Environmental, Social and Governance).

“Saya mahu Buku Panduan JKAS ini menjadi dokumen rujukan utama yang bukan sahaja bersifat teknikal, tetapi turut mencerminkan aspirasi pembangunan negeri iaitu pantas, telus dan berimpak tinggi,” kata Ketua Menteri ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran JKAS Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, menegaskan supaya semua agensi teknikal dan agensi berkaitan menggunakan panduan disediakan secara seragam dalam setiap penilaian projek kerjasama awam swasta (PPP) agar tidak berlaku pertindihan, kelewatan atau ketidaktentuan dalam membuat keputusan.

“Menerusi pendekatan ini juga Kerajaan Negeri membuka ruang kerjasama dalam pelbagai skala, sama ada besar mahupun kecil, asalkan ia memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri, menjana peluang pekerjaan dan memelihara kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Saya sendiri akan memantau secara dekat keberkesanan JKAS dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap cadangan yang diluluskan benar-benar menyumbang kepada kemajuan negeri dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

486
Kongsi :
Previous post KERAP KEMALANGAN, LALUAN DUYONG DINAIK TARAF DEMI KESELAMATAN
Next post KESEPADUAN INISIATIF AWAM-SWASTA, BUKTI MELAKA DISENANGI PELABUR